• FOLLOW US
Filem, Terkini

Wangi… Kisah Seram Yang Merungkai Misteri Kehilangan Bella

Filem-filem bercorak psiko thriller yang mengandungi unsur-unsur seram merupakan antara genre filem yang cukup digemari penonton.

Maka, syarikat produksi Resilinece Studio Sdn. Bhd. mengambil inisiatif dengan terhasilnya filem sulung mereka berjudul Wangi yang akan ditayangkan di pawagam pada 5 September ini.

Biarpun baru menghasilkan filem, namun mereka dilihat cukup serius untuk filem sulung ini dengan menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Sharnaaz Ahmad, Erra Fazira, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifly.

Penerbitnya iaitu Shuhada Mohd. atau Adda mengatakan bahawa dia begitu menggemari plot-plot seram dan misteri dalam sesebuah cerita dan itu merupakan salah satu sebab utama tercetusnya idea untuk menerbitkan filem ini.

“Untuk filem baharu terbitan syarikat saya ini, Wangi merupakan tajuk yang sukar ditafsirkan kerana ia subjektif dan bergantung pada persepsi individu.

“Filem ini memaparkan kisah tentang sebuah keluarga bahagia dari pandangan zahirnya, tetapi di sebaliknya ia mempunyai rahsia hitam yang tersembunyi,” ujarnya.

Wangi menceritakan tentang Nor (Erra Fazira) yang baru pulang ke rumah setelah melahirkan cahaya mata kedua. Dia dan suaminya, Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) memiliki seorang anak lelaki istimewa berusia tujuh tahun. Sepanjang dalam tempoh berpantang, Nor telah dijaga oleh ibunya.

Dalam pada itu, Nor juga menyedari ketiadaan pembantu rumah dan merangkap adik angkatnya, Bella (Nabila Huda). Khuzairi memberitahu bahawa Bella telah berhenti dan pulang ke Amsterdam dengan alasan berkahwin dengan kekasihnya iaitu Azlan (Syazwan Zulkifli).

Bagaimanapun, Nor berasa pelik memandangkan Bella tak pernah bercerita tentang perkahwinan dan bermulalah misteri tentang kehilangan Bella serta kejadian-kejadian pelik yang berlaku ke atas dia dan keluarganya, di sebalik misteri kehilangan Bella.

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Erra Fazira pula menyatakan dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan kerana kelainan watak yang dibawakannya iaitu seorang ibu yang berdepan dengan konflik jiwa.

“Saya pernah berlakon di bawah arahan Yeop Hitler (Mohd Latiff Zami), tetapi kali ini pengarahan dan pembawakan jiwa yang berbeza diterapkan olehnya.

“Dia memberi kebebasan kepada saya untuk watak Nor ini, namun dalam masa yang sama dia memantau agar karektor dan penceritaan tidak tersimpang jauh,” ujarnya.

Selain itu, Erra menyatakan jalan cerita yang agak menarik di samping dapat beraksi bersama rakan-rakan pelakon yang hebat antara sebab utama dia bersetuju membintangi filem berkenaan.

“Sudah tentu saya harap filem Wangi dapat mengubat hati penonton yang mahu saya kembali beraksi di layar perak. Ia bukan sekadar filem seram seperti yang dijangkakan kerana Wangi adalah sebuah filem ‘psycho thriller’ yang jarang dizahirkan dalam filem-filem Malaysia,” ujarnya. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend