Zizan Semakin Dikenali Di Indonesia Sejak Berlakon Kesempatan Keduda
Pelawak dan pelakon Razizan Abdul Razak, 34, atau Zizan Razak mengakui laman sosialnya kini sering dibanjiri komen-komen peminat dari Indonesia sejak filem lakonannya, Kesempatan Keduda ditayangkan di negara itu bermula 11 Oktober lalu.
Menerusi filem terbitan produksi Indonesia itu, pelakon Polis Evo 2 itu memainkan watak utama bersama pelakon Raffi Ahmad.
“Tidak dinafikan sejak berlakon Kesempatan Keduda nama saya semakin dikenali peminat dari sana. Ketika majlis tayangan gala filem itu yang berlangsung di Jakarta baru-baru ini, tiada seorang pun peminat datang kepada saya, tetapi lain pula sebaik filem itu habis ditayangkan mereka mula mengerumuni saya.
“Saya lihat itu satu respon yang positif terhadap penerimaan mereka melalui lakonan saya. Lagipun sudah menjadi impian saya untuk mengembangkan karier di Indonesia selepas ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Pelakon dan pelawak berkenaan ditemui pada majlis pelancaran filem Polis Evo 2 yang berlangsung di Gasket Alley, Petaling Jaya baru-baru ini.
Selain Zizan, Polis Evo 2 turut dibintangi Shaheizy Sam, Hasnul Rahmat, Raline Shah, Erra Fazira dan Hairul Azreen dan akan ditayangkan bermula 22 November ini.
Sementara itu, Zizan turut tidak menafikan penglibatannya dalam filem Kesempatan Keduda membuatkan jumlah pengikut di laman Instagramnya semakin bertambah.
“Makin ramai peminat di Indonesia mengikuti saya di laman Instagram. Bukan sebelum ini tiada peminat dari sana (follow IG) tapi dulu jumlah peratusannya sedikit berbanding sekarang.
“Selepas ini saya harap akan dapat lagi tawaran untuk berlakon di sana sekali gus menimba lebih pengalaman lagi dengan produksi negara seberang,” katanya. – KopiPlanet.com