
Niena Baharun Tunggu Anak Besar Sikit Baru Kembali Berlakon
Pelakon yang cukup terkenal dengan watak Husna, Datin Amaniena Kamarul Baharun atau lebih dikenali sebagai Niena Baharun, 26, berkata dia memberikan tempoh sehingga anaknya, Adiel Mikael berusia enam bulan ke atas sebelum kembali memasuki set penggambaran.
Menurut Niena, buat masa ini dia terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon drama memandangkan anaknya yang masih terlalu kecil untuk ditinggalkan lebih-lebih lagi beliau menyusu badan.
“Buat masa ini saya memang berehat sementara waktu. Memang rindu nak kembali ke set penggambaran tapi saya nak tunggu anak besar sedikit agar lebih senang untuk saya tinggalkan dia.
“Memang awal-awal saya dah minta maaf pada pihak produksi kerana terpaksa menolak tawaran mereka sebab saya memang tidak boleh beri komitmen, mujur mereka memahami.
“Sekarang memang semua saya uruskan sendiri pasal anak lebih-lebih dia menyusu badan. Saya pun memang tak boleh tinggalkan dia dengan orang lain sebab dia jenis yang kena ada sentiasa dengan ibu dia,” katanya kepada KopiPlanet.com
Niena ditemui pada majlis pelancaran koleksi tudung ParisFairies Scarves yang berlangsung di Greenhouse of Muir, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bercerita lebih lanjut tentang pengalamannya bergelar seorang ibu, Niena mendedahkan kehidupannya memang berubah sepenuhnya sejak dikurniakan cahaya mata.
“Dah ada anak ni, nak keluar rumah pun kena fikir 10 kali. Nak melayan media sosial pun sekarang dah tak sempat. Saya memang jaga sendiri anak, memang ada bantuan daripada orang gaji tapi dia hanya bantu sikit-sikit sahaja, selebihnya memang saya lebih seronok uruskan sendiri anak.
Niena mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Alif Firdaus pada 1 Februari tahun lalu di Kota Bharu, Kelantan. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan anak lelaki, Adiel Mikael yang dilahirkan pada 24 Oktober tahun lalu. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Datin Niena Baharun



