
Maya Karin ‘Mengamuk’ Lagi, Kali Ini Pasal Pembaziran Makanan
Jika sebelum ini pelakon Maya Karin ada meluahkan mengenai harga buffet ramadan yang ditawarkan pihak hotel dan restoran tidak munasabah, kali ini aktres itu tampil menegur mengenai pembaziran makanan terhadap pihak gelandangan.
Menerusi entri di Instagram, Maya menegur beberapa pertubuhan atau individu perseorangan yang menyumbangkan makanan kepada gelandangan sempena bulan Ramadan yang ternyata meleset daripada tujuan sebenar apabila berlaku banyak pembaziran tanpa mereka sedari.
Pelakon Munafik 2 itu juga turut berkongsikan gambar bekas makanan plastik yang pastinya merosakkan alam selain lambakan makanan sedekah kepada gelandangan yang pastinya tidak habis terjamah oleh mereka.
“Ini adalah satu pembaziran! Tukang masak telah membazirkan masa, penderma telah membazirkan duit dan pembaziran makanan serta penggunaan plastik yang pastinya memberikan kesan buruk kepada bumi,” tulisnya.
Maya memberikan respons terhadap perkongsian seorang sukarelawan, Syed Azmi yang menceritakan tentang pembaziran itu yang berlaku apabila penderma tidak bekerjasama dengan mana-mana badan bukan kebajikan (NGO) sehingga menyebabkan masalah itu berlaku.
Menurut Syed Azmi, seharusnya penderma-penderma ini bekerjasama dengan NGO agar bantuan makanan itu tidak akan bertindih sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran. – KopiPlanet.com