
As’ad Motawh Tidak Pernah Kemurungan Biarpun Sering Dikecam Netizen
“Saya pernah kena kecam teruk, mereka kata suara saya tak sedap dan ketika itu umur baru sahaja 16 tahun, budak lagi memang saya rasa sedih tapi tidaklah sampai rasa tertekan atau depresi. Bagi saya, insiden itu juga yang menjadikan diri saya lebih kuat untuk berhadapan dengan sebarang kecaman selepas itu.
“Sekarang saya jadi macam dah tiada perasaan apabila dikecam. Saya ambil kecaman dan kritikan negatif secara positif, mungkin disebabkan itu saya dah tak rasa apa-apa bila dikecam.
“Kalau ada pun yang beri komen negatif, saya akan balas balik dengan nada positif. Kadang-kadang peminat ini dekat media sosial sahaja lantang bersuara tapi bila jumpa depan-depan mereka akan ajak bergambar dan saya pun layankan sahaja,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Shopee MAKNA Big Sale 11.11 yang berlangsung di W Hotel, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
Dua tahun lalu As’ad pernah dikecam apabila suaranya dikatakan sumbang dan tidak boleh menyanyi secara ‘live’ ketika menjayakan sebuah program hiburan di Indonesia.
Menerusi rancangan tersebut, Asad menyanyikan lagu Asalkan Kau Bahagia yang merupakan dendangan asal Armada Band.
Dalam pada itu, As’ad meluahkan rasa syukur apabila buat kali pertama, single terbaharunya yang berjudul Selamanya tidak menerima kecaman daripada netizen.
Bagi As’ad, dia menyedari ada segelintir netizen tidak berniat untuk melemparkan kata-kata negatif sebaliknya mereka hanya lebih mahukan perhatian daripadanya.
“Alhamdulillah saya sangat bersyukur apabila lagu terbaharu saya iaitu Selamanya tidak ada orang kecam buat pertama kali. Ramai orang memberi respon yang positif mengenai lagu tersebut.
“Saya gembira dengan perkhabaran itu sampaikan saya buat sujud syukur apabila tidak ada komen-komen negatif yang diterima,” ujarnya sambil berseloroh. – KopiPlanet.com