
Siti Nurhaliza Teruja Peminat Hadiahkan Pakaian Bayi
Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui sangat teruja apabila dihadiahkan pakaian bayi oleh para peminat kesayangannya.
Siti berkata, beliau sangat menghargai hadiah-hadiah yang telah diberikan oleh para peminatnya dan menganggap ia merupakan rezeki buat diri dan bayi yang akan lahir nanti.
“Mengenai persiapan, ketika ini saya masih belum sempat lagi membeli perabot untuk bayi. Untuk pakaian pula, saya bersyukur dan berterima kasih kerana banyak mendapat hadiah pakaian bayi daripada peminat.
“Ini semua adalah rezeki daripada Allah untuk saya dan bayi. Lagipun peminat-peminat saya berbesar hati untuk bagi dan ia merupakan tanda kasih mereka kepada saya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Majlis Pembukaan Jakel & Ariani Ostia Bangi yang berlangsung pada pagi tadi.
Menurut beliau, memandangkan menerima terlalu banyak hadiah pakaian bayi, penyanyi itu tidak bercadang untuk membeli lagi pakaian bayi.
Berkenaan dengan tawaran mendapat tajaan sempena kelahiran cahaya mata sulung beliau, Siti menyatakan memang terdapat ramai pihak yang memberikan tawaran kepadanya.
“Saya akui memang ada yang datang berjumpa dan mahu memberikan tajaan, cuma saya tidak mahu terlalu menguar-uarkan mengenainya.
“Selain itu, tiada juga sebarang program televisyen untuk kelahiran cahaya mata saya ini kerana ingin melalui proses kelahiran ini dengan keadaan yang sangat tenang. – KopiPlanet.com



