EventHiburan

Lancar Album Baharu Lepas 20 Tahun Menyepi, Cradle Tampil Dengan Sebuah Showcase Istimewa

Setelah menyepi selama 20 tahun di persada muzik tanah air, Cradle kini mampu menarik nafas apabila album terbaharu mereka berjudul Hela Nafasku berjaya diriliskan dalam satu majlis sederhana tetapi meriah di Ideas Hotel Kuala Lumpur pada 14 November lalu.

Bukan sekadar pelancaran, malah majlis berkenaan turut diserikan lagi dengan sebuah showcase istimewa buat para peminat serta wakil media dan rakan-rakan industri.

Addy selaku tunjang utama Cradle berkongsi keterujaannya kerana dapat ‘puaskan’ jiwa sendiri berbanding berada sebagai pemuzik undangan.

“Saya sebenarnya berasa gementar untuk berhadapan dengan reaksi peminat sebenarnya, namun di masa yang sama saya berasa cukup teruja dan gembira apabila ‘penantian’ yang tertunda sekian lama kini dapat dilunaskan”,

“Peminat tahu saya aktif meneruskan karier saya dengan posisi sebagai pemuzik undangan, pengalamannya sebenarnya berbeza. Jika sebagai pemuzik undangan kita terikat tapi bila kita beraksi dengan band sendiri, ianya adalah kepuasan”, tambahnya.

Cradle yang dibarisi oleh Addy Rasidi Addy (gitaris), Eiz Mohd sebagai vokalis, Zul Wahab (bass) dan Adha Lizam (dram).

Sementara itu, Eiz selaku vokalis turut menyimpan hasrat untuk beraksi di ‘gig’ kecil sebagai tanda untuk memberitahu bahawa Cradle itu wujud.

“Kami berhasrat untuk mengadakan persembahan berskala kecil dimana-mana lokasi dan negeri.  Kami rasa dengan cara itu kami dapat bertemu dengan peminat sedia ada dan peminat baharu selain mencipta suasana yang lebih intim bersama peminat”, ujarnya.

Dalam pada itu, tokoh rock tanah air, Datuk Ramli Sarip yang menaungi Cradle di bawah label Rasa Karya, berkata keputusannya dipacu disiplin dan dedikasi kumpulan itu.

“Permainan mereka mantap walaupun sederhana. Disiplin bagus, bakat ada dan semangat kerja tinggi. Saya yakin mereka boleh pergi jauh,” ujar beliau.

Hela Nafasku ialah simbol nafas baharu buat Cradle selepas melalui pelbagai fasa jatuh bangun dalam dunia muzik.

“Mereka mengakui album ini menjadi refleksi diri serta bukti bahawa Cradle masih teguh memperjuangkan identiti rock alternatif yang pernah mengangkat nama mereka suatu ketika dahulu,” ujarnya.

Selepas majlis pelancaran, Cradle kemudian menghangatkan suasana dengan showcase eksklusif yang berlangsung sejurus selepas majlis perasmian.

Dengan suara mantap dan persembahan penuh tenaga, mereka mempersembahkan beberapa lagu baharu antaranya Ku Mencari, Ikrarku, Pesona  dan Sementara yang terus mendapat sorakan peminat.

Kemudian Showcase turut diserikan dengan penampilan istimewa daripada Datuk Ramli Sarip yang mempersembahkan dua buah lagu antaranya Istilah Bercinta dan Batu yang nyata membangkitkan ‘ruh’ peminat yang hadir.

Aksi lincah di pentas dan chemistry antara anggota jelas membuktikan Cradle masih berada dalam kelas tersendiri, sekali gus membawa aura nostalgia buat mereka yang mengikuti perjalanan kumpulan itu sejak awal penubuhan.

Peminat yang hadir menyifatkan showcase itu sebagai “comeback” yang dinanti-nantikan, apatah lagi Cradle jarang tampil dengan karya penuh sejak kebelakangan ini.

Album Hela Nafasku kini boleh didengarkan di semua platform digital, manakala edisi fizikal dijangka diumumkan dalam masa terdekat. Cradle turut memberi bayangan bakal mengadakan siri jelajah kecil bagi mempromosikan album tersebut. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button