Industri kulinari dan hospitaliti antarabangsa menyaksikan pengiktirafan berprestij terhadap barisan cef terkemuka, usahawan serta jenama makanan dan minuman (F&B) serantau menerusi penganjuran Anugerah World Top Gourmet Kali Ke-8 2026 yang berlangsung gilang-gemilang di pada 22 Oktober lalu di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur.
Antara sorotan utama majlis anjuran World Gourmet itu adalah penganugerahan kepada personaliti kulinari negara, Chef Anis Nabilah, yang menerima penghormatan berprestij TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Anis menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sokongan padu yang diterimanya sepanjang berkecimpung dalam arena kulinari.
“Terima kasih kepada World Gourmet kerana memilih saya sebagai penerima TOP Outstanding Celebrity Chef Award 2026. Saya rasa sangat bersyukur dan terharu dengan penghargaan ini.
“Sepanjang perjalanan saya dalam bidang masakan, terlalu banyak pengalaman yang saya lalui dan ramai juga yang telah memberi inspirasi kepada saya. Setiap peluang dan cabaran yang datang banyak membentuk diri saya sebagai seorang chef,” katanya.
Tambah Anis atau nama sebenarnya Anis Nabilah Umaruddin, masih banyak impian yang ingin dikejarnya di samping berkongsi minatnya dalam bidang kulinari dengan lebih ramai orang.
“Terima kasih sekali lagi kepada World Gourmet atas penghargaan ini. Tidak lupa juga kepada keluarga, rakan-rakan, rakan sekerja dan semua yang sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada saya. Saya sangat menghargai semua yang sentiasa ada dan menyokong saya sepanjang perjalanan ini,” katanya lagi.
Majlis anugerah tahun ini diserikan dengan kehadiran Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tuan Steven Sim selaku Tetamu Kehormat, di samping dua ikon kulinari tersohor sebagai Cef Kehormat iaitu Adjunct Professor Datuk Chef Wan dan Master Chef Dr Martin Yan.
Majlis turut dihadiri tokoh terkemuka antarabangsa dan tempatan termasuk Master Chef Thomas Gugler (Bekas Presiden World Chefs Association), Master Chef Jeffrey Tan, OAM (Pengasas Cooking for Charity), Lady Puan Sri Datin Sri Dr Susan Cheah (Penaung World Gourmet) serta Puan Zuraini Abdul Ghani yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mr Samuel Lee.
Pengiktirafan turut diberikan kepada jenama F&B terkemuka rentas sempadan seperti Meng Zi Yuan dan Tao Tao Ju dari China, Yang Ming Spring (Taiwan), Quan An Ngon (Vietnam), serta wakil tempatan antaranya Andaman Seafood Village, Cooper Mansion, dan Seri Bako by Kwan Kee.
Turut diberi penghormatan ialah pengasas bagi restoran ikonik Village Park, Madam Kwan’s, dan D’Tandoor, di samping penggiat industri serta selebriti popular seperti Cousin Edison, personaliti Hong Kong Yeung Ming, dan DJ radio Emely Poon. – KopiPlanet.com




