Cerita ArtisHiburan

Kepincangan SWT, Ahmad Idham Mahu Lapor Kepada SPRM

Penerbit dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri akan mengumpulkan segala maklumat berhubung kepincangan dalam Skim Syarat Wajib Tayang (SWT) sebelum melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, badan khas yang ditubuhkan kerajaan untuk membantu industri filem tempatan wajar dipuji, namun dia melihat dari segi pelaksanaan, SWT gagal memainkan peranan mereka untuk meneruskan nafas filem-filem tempatan di pawagam seluruh negara.

“Terus-terang saya kecewa dengan pelaksanaan dari pihak Wajib Tayang. Saya bukan kecewa dengan penubuhannya, sebaliknya saya berterima kasih dengan kerajaan kerana mewujudkan skim itu untuk melindungi industri filem tempatan.

“Yang saya tidak berpuas hati di sini ialah cara pelaksaan individu-individu yang terlibat dalam skim tersebut. Mereka meletakkan syarat hanya benarkan 20 pawagam sahaja dibenarkan tayang filem tempatan. adakah perkara itu memperjuangkan agenda kerajaan yang mahu membantu perjalanan industri filem tempatan?

“Mereka (jawatankuasa Wajib Tayang) tiba-tiba kata sekarang hanya melihat filem besar dan filem kecil. Bagaimana mereka meletakkan syarat-syarat itu tanpa pengetahuan penerbit. Mereka tiada usaha untuk mengadakan pertemuan dengan semua penerbit filem untuk memberitahu hal-hal penting seperti itu. Itu yang saya kecewa dengan pelaksanaan tersebut. Saya harap FINAS akan bangkit dan melihat isu ini secara serius,” kata.

Ahmad Idham berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada malam gala filem Hantu Wangan di MM2 Cineplexes, Damansara semalam.

Hantu Wangan yang diarahkan Ahmad Idham dibintangi Achey, Risteena Musnim, Cat Farish, Syanie Aida, Nor Albaniah dan Ruminah Sidek akan mula ditayangkan di 43 pawagam seluruh negara bermula 22 Mac ini.

Ahmad Idham turut mempersoalkan jumlah pawagam yang diperolehi untuk tayangan filem terbaharunya itu, yang mana dia perlu membuat sebanyak tiga kali rayuan bagi tujuan itu.

“Bayangkan saya ibarat mengemis di negara sendiri. Mula-mula saya minta 40 pawagam sahaja, saya dah jadi sehabis realistik dah ni, tetapi mereka hanya bagi 25 pawagam sahaja pada ketika itu.

“Saya sampai terpaksa buat rayuan dan selepas melalui sampai tiga kali peringkat rayuan barulah saya boleh dapat 43 pawagam. Itu pun sudah cukup okey bagi saya.

“Kalau ikutkan di Malaysia kita mempunyai 150 panggung wayang, tetapi untuk filem saya, satu pertiga daripada jumlah pawagam itu pun tak lepas. Macam mana nak tolong industri filem tempatan macam ini, matilah kami sebagai penerbit kalau benda ini masih lagi berterusan selepas ini,” tegasnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button