
Pengendap Taylor Swift Kena Hukuman Penjara 6 Bulan
Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara selepas mengaku bersalah mengendap dan menceroboh kediaman Taylor Swift tahun lalu.
Hakim Mahkamah Manhattan, Amerika Syarikat menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap Mohammed Jaffar di atas kesalahan dilakukannya pada 7 Mei tahun lalu.
Selain menjalani hukuman penjara, Mohammed juga akan dipantau selama lima tahun di mana dia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di Michigan selepas dibebaskan kelak.
Selepas ditahan pada Mac lalu, Mohammed diikat jamin sebanyak US$20,000 dan dia dilarang mendekati Taylor.
Menurut pendakwaan, Mohammed dikatakan ingin bertemu secara dekat dengan penyanyi tersebut selain pernah beberapa kali cuba untuk mendekati Taylor di beberapa majlis anugerah sebelum ini.
April lalu, Taylor telah memohon perintah larangan mendekatinya kepada Julius Sandrock. Lelaki tersebut ditahan ketika menceroboh rumah penyanyi berusia 29 tahun itu di Beverly Hills.
Hakim membenarkan permohonan tersebut yang mana mengarahkan Julius berada 50 meter jauh daripada Taylor, kediamannya atau lokasi konsert yang melibatkan pelantun lagu Gorgeous itu. – KopiPlanet.com