
Kaka Azraff Anggap Ada Hikmah Gagal Uji Bakat Gol & Gincu 2
Penyanyi Kaka Azraff menganggap kegagalannya dalam uji bakat untuk salah satu watak utama dalam filem Gol & Gincu 2 mempunyai hikmah di sebaliknya.
Menurut Kaka, di sebalik kegagalannya itu, kini dia telah mendapat peluang untuk menyanyikan salah satu lagu runut bunyi (OST) filem berkenaan berjudul Shout It Out.
“Saya akui pernah menghadiri sesi uji bakat untuk watak yang kini dibawakan oleh Diana Danielle. Namun begitu, saya langsung tidak kecewa dengan kegagalan berkenaan.
“Biarpun gagal berlakon dalam filem berkenaan, tetapi saya sangat gembira dengan peluang yang diberikan. Ia sekali gus meneruskan legasi makcik saya iaitu Ella,” ujarnya.
Kaka ditemui KopiPlanet.com semasa majlis pelancaran OST Gol & Gincu 2 yang berlangsung di Red Box Pavilion bersama-sama dengan Aizat Amdan.
Untuk filem Gol & Gincu yang ditayangkan pada tahun 2005, Ella merupakan penyanyi untuk OST filem berkenaan yang bertajuk Teruja.
Dalam pada itu, mengenai projek terkininya sekarang, Kaka memberitahu buat sekarang dia masih dalam proses menghasilkan album penuh.
Ujarnya, buat masa ini dia baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu, termasuk lagu Sibuk yang dilancarkan beberapa bulan.
“Untuk album ini ia masih lagi dalam proses untuk memilih konsep yang bertepatan. Selain itu, ada empat buah lagu lagi yang akan dirakam untuk dimuatkan dalam album saya ini nanti,” ujarnya. – KopiPlanet.com