Cerita ArtisHiburan

Adira Terkilan Tidak Sempat Temukan Arwah Bapa Dengan Dua Anaknya

Penyanyi Adira Suhaimi, 28, melahirkan perasaan terkilan apabila hasratnya untuk menemukan arwah bapa, Suhaimi Rajiman dengan dua anaknya iaitu Anggrek dan Asan tidak kesampaian setelah bapanya dijemput Ilahi pada 21 Mac lalu.

Lebih memilukan, Adira turut berkongsi rasa sedihnya yang mana seumur hidupnya, dia tidak pernah berpeluang meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama bapa tercinta.

Menurut Adira, hubungannya dengan arwah sedikit renggang setelah ibu bapanya mengambil keputusan untuk bercerai ketika dia masih dalam kandungan ibunya.

“Sejujurnya, banyak perkara yang tidak sempat saya lakukan dengan arwah ayah. Antaranya, saya tidak pernah berpeluang meraikan hari raya dengannya. Selain itu, saya turut terkilan arwah tidak sempat untuk bertemu dengan dua anak saya yang mana saya rancang untuk temukan mereka pada sambutan raya tahun ini, tetapi ia ternyata tidak kesampaian.

“Apabila dia sudah tiada, baru perasaan terkilan muncul dan teringat perkara-perkara yang boleh kami lakukan bersama. Saya memang sangat sensitif bila bercakap mengenai arwah bapa, mudah sahaja air mata mengalir. Jadi, jika anda masih mempunyai ibu dan bapa, cari peluang untuk habiskan masa dan bahagiakan mereka,” katanya.

Adira berkata kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran tudung Adira X Hermanas yang berlangsung di Work@Nest, The Curve, Petaling Jaya semalam.

Dalam pada itu, Adira yang kini sedang hamil tujuh bulan turut berkongsi cerita yang mana dia akan berpuasa sekiranya keadaan badannya mengizinkan.

“Alhamdulillah setakat ini saya masih lagi larat berpuasa. Bagi saya mudah sahaja, selagi larat untuk berpuasa, saya akan berpuasa. Cuma kalau bayi dalam perut dah meragam, masa itu hendak tak hendak saya kenalah juga berbuka.

“Untuk anak kali ini saya tidak kisah jantina dia sebab saya dah ada anak sepasang lelaki dan perempuan. Saya cuma berharap anak ini nanti akan lahir dengan selamat dan dipermudahkan semua urusan,” katanya lagi.

Adira berkahwin dengan Datuk Seri Adnan Abu, 41, atau dikenali sebagai Datuk Red di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015. Hasil perkahwinan, pasangan itu mempunyai dua cahaya mata, Anggrek, 2, dan Asan, lapan bulan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button