
Komposer Ajai bersama dua rakannya, Adib Khalid dan S. Atan bekerjasama menghasilkan sebuah album raya yang diberi nafas baharu, Nada Seni Gema Lebaran Legenda.
Menerusi album itu sebanyak 24 buah lagu raya evergreen digubah mengikut arus lagu semasa tanpa sedikit pun mengubah muzik asal lagu-lagu terbabit.
Antara artis yang terlibat dalam album ini seperti Ziana Zain, Sanisah Huri, Ramlah Ram, Salamiah Hassan, Hazama, Hael Husaini, Haziq, Salwa Abdul Rahman dan Salma Asis.
“Kami memilih artis-artis ini berdasarkan kesesuaian sesebuah lagu itu dengan suara mereka. Menerusi album ini kami tidak terlalu mengubah lagu tersebut sebaliknya hanya menambah sedikit gaya nyanyian baharu dalam lagu raya klasik yang sentiasa menjadi siulan sehingga kini.
“Lagu-lagu raya ini juga dipilih sebagai penghargaan kepada legenda muzik terdahulu seperti Tan Sri P. Ramlee, Puan Sri Saloma, Datuk Sharifah Aini dan Datuk Ahmad Jais,” kata Ajai kepada KopiPlanet.com.
Ajai ditemui pada majlis pelancaran album Nada Seni Gema Lebaran Legenda yang berlangsung di Hotel One World, Petaling Jaya semalam.
Selain itu ketika diminta mengulas mengenai pemilihan empat penyanyi muda iaitu Syamel, Hael Husaini, Hazama dan Salma Azis, Ajai berkata dia cukup kagum dengan bakat nyanyian yang dimiliki penyanyi generasi baharu ini.
“Bagi saya mereka berempat ini merupakan penyanyi muda yang cukup bagus menyanyikan lagu-lagu Melayu klasik. Masing-masing ada kekuatan vokal tersendiri yang dapat memberikan lagi rasa dalam lagu-lagu yang didendangkan mereka,” ujarnya.
Album ini sudah boleh didapati menerusi kesemua platform digital bermula semalam selain ia turut dijual dalam bentuk cakera padat yang dijual pada harga RM25 seunit. Nada Seni Gema Lebaran Legenda diterbitkan oleh Eight Minarets Sdn Bhd dan diedarkan oleh Universial Music Malaysia. – KopiPlanet.com