Cerita ArtisHiburan

Alvin Belajar Dengan Jihan & Shuk Untuk Elak Jadi Badut

Berjinak-jinak dengan cabang pengacaraan, pelakon Alvin Chong diberi kepercayaan mengacarakan sebuah program realiti baharu, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) bersama-sama dengan Shuk Sahar.

Pada awalnya Alvin berniat menolak tawaran tersebut, namun setelah dua minggu berfikir, akhirnya dia menerima tawaran tersebut kerana ia memberikan kelebihan untuknya memperbaiki bahasa Melayu selain mahu melihat keupayaannya mengacarakan program hiburan seperti itu.

“Bila saya dapat tawaran, mulanya saya tak nak ambil sebab tak yakin dengan percakapan bahasa Melayu selain terfikir-fikir boleh ke saya mengacarakan rancangan ini. Kemudian selepas pihak penerbit bagi semangat, saya pun terima dan saya ambil ini sebagai cabaran dalam mempelbagaikan cabang seni selain boleh perbaiki bahasa Melayu saya.

“Untuk tiga episod pertama saya rasa macam tak boleh buat sebab banyak salah cakap, tetapi selepas mendapat tunjuk ajar, barulah saya mula mendapat rentak yang sepatutnya,”katanya kepada KopiPlanet.com.

Alvin, 27, ditemui pada majlis pelancaran I Can See Your Voice Malaysia di The Starling Mall, Damansara semalam.

Menurut aktor berketurunan Tionghua itu, sepanjang di set dia banyak belajar dengan rakan hos, Shuk serta Jihan Muse yang merupakan penyiasat tetap dalam rancangan yang diadaptasi daripada Korea Selatan itu.

“Jihan dan Shuk banyak  beri semangat, malah mereka juga banyak bagi tips untuk jadi pengacara yang bagus. Jihan pun ada beritahu kalau tak tahu nak bahan artis jemputan, bahan sahaja Shuk sebab dia okay,” katanya secara berseloroh.

Sudah bersedia menerima kritikan, Alvin bagaimanapun berkata dia hanya akan melayan kritikan membina yang dapat memantapkan lagi mutu pengacaraan.

“Komen membina saya akan terima tapi kalau setakat komen nak menghina, itu memang saya buat tak tahu sahaja sebab kalau saya balas balik jadi isu lain pula, jadi kita buat tak tahu sahaja dengan komen macam itu,” katanya.

ICSYVMY akan mula bersiaran pada 4 Ogos ini, jam 8.30 malam di saluran ntv7. Pada setiap episod, enam orang penyanyi misteri akan diperkenalkan dan artis-artis jemputan perlu menyingkirkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang pada setiap pusingan.

Antara barisan artis yang terlibat dalam ICSYVMY ialah Cakra Khan, Pasha Ungu, Wany Hasrita, Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Virgoun, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black dan De Fam. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button