Cerita ArtisHiburan

Amelina Akui Kecil Hati Dengan Hinaan Dilemparkan Pereka Fesyen

Pemenang tempat keempat Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Amelina Amir Sharipuddin atau Amelina, 44, tampil menjelaskan mengenai kontroversi melibatkan dirinya yang didakwa enggan memakai busana rekaan Razman Razmi yang dibuat khas untuk dirinya.

Menurut Amelina, dia mengakui sedikit terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan pereka tersebut di laman sosialnya baru-baru ini.

“Semua ini berlaku kerana salah faham. Dia merajuk secara tiba-tiba lalu mengeluarkan kenyataan di media sosial. Saya pada mulanya memang tidak tahu pun yang dia ada keluarkan kenyataan itu. Dia terasa hati sampai keluar kata-kata penghinaan kepada saya dan pihak pengurusan.

“Sepatutnya dia fikir dahulu sebelum keluar kenyataan. Kalau dia sentap pasal baju, saya tak kisah dia cerita pasal baju sahaja. Ini tidak, dia tulis cakap saya sendu sampai kecil hati saya. Sepanjang berada dalam industri saya tak pernah busuk hati dan buat jahat dengan orang,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Amelina ditemui pada majlis sidang media konsert final GV5 yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor malam Ahad.

Menurut penyanyi dangdut itu lagi, sepanjang penglibatannya dalam GV5, dia tidak menandatangani sebarang kontrak yang memerlukan dirinya untuk menggayakan busana dari Razman Razmi sahaja.

“Tiada sebarang kontrak, sebaliknya atas dasar kawan-kawan. Bagi saya, bukan saya yang perlu minta maaf pada dia. Seharusnya saya patut minta maaf pada rakan-rakan pereka lain yang satu masa dulu saya tidak dikenali, mereka sanggup buat baju untuk saya.

“Disebabkan saya nak bagi peluang kepada Razman Razmi, saya terpaksa tidak memakai baju rekaan pereka-pereka lain. Namun, bila kita dah bagi peluang, dia pula keluar kenyataan macam ini. Memang saya dah target nak selesaikan isu ini selepas habis GV5. Kalau dapat diselesaikan secara baik, Alhamdulillah, kalau tak, kita pergi kepada jalan yang sebetulnya (muka pengadilan),” jelas Amelina.

Razman Razmi sebelum ini mempersoalkan tindakan Amelina dan pihak pengurusannya yang tidak mahu menggayakan busana rekaannya yang sepatutnya dipakai pada konsert separuh akhir, minggu lalu.

Razman Razmi Kuala Lumpur merupakan butik yang menaja pakaian penyanyi dangdut itu dari awal promosi sehingga minggu kelima konsert GV5. – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Amelina

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button