
Perjalanan hidup jaguh lumba basikal dunia, Mohd. Azizulhasni Awang, 30, akan dipaparkan menerusi sebuah filem biopik yang dijangka akan menemui penonton selewat-lewatnya pada penghujung tahun hadapan.
Filem yang menelan belanja sebanyak RM6 juta itu akan menceritakan detik-detik awal penglibatan anak kelahiran Dungun, Terengganu itu dalam sukan lumba basikal serta pahit jerih Azizulhasni sebelum meraih kejayaan tertinggi dalam kariernya.
Sehubungan itu, bagi mendapatkan pelakon yang sesuai untuk membawakan watak Azizulhasni, pihak produksi Three Sixty Management dan Unitalent akan mengadakan sesi ujibakat yang bukan sahaja terbuka dalam kalangan pelakon profesional sedia ada, malah ia juga boleh disertai semua rakyat Malaysia yang berbakat dalam bidang lakonan.
Menyerahkan senarai pelakon kepada pihak produksi, namun secara peribadi Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman itu melihat pelakon berbakat besar, Shaheizy Sam mempunyai banyak persamaan dengan dirinya.
“Pelakon yang terlintas di fikiran yang boleh membawakan watak saya ialah Shaheizy Sam. Ini kerana kami mempunyai banyak ciri persamaan daripada segi fizikal.
“Bagaimanapun, itu cuma pendapat say kerana apa-apa pun semuanya saya serahkan kepada pihak produksi. Yang penting pelakon yang terpilih itu nanti boleh bercakap dalam dialek Terengganu dan boleh bermain basikal, agar watak itu nanti dapat direalisasikan sama seperti karakter saya yang sebenar,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran filem biopik Azizulhasni Awang di Academia Cafe & Bistro, Kuala Lumpur hari ini.
Filem berskala besar yang akan diarahkan oleh Raja Mukhriz itu turut mendapat kerjasama daripada Universiti Utara Malaysia (UUM).
Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak, UUM menyokong penuh penghasilan filem biopik ini bagi menghargai pengorbanan dan perjuangan Azizulhasni sebelum dirinya diangkat sebagai juara dunia.
“Saya percaya dengan penerbitan filem ini dapat memberikan inspirasi kepada anak muda di luar sana. Apabila kita ada keazaman yang kuat, pasti kejayaan akan menjadi milik kita.
“Filem ini juga akan mengetengahkan tema perjuangan serta semangat nasionalisme dan cintakan negara,” katanya.
Sementara itu, Raja Mukhriz berkata, pihak produksi akan memastikan kesemua fakta menarik mengenai Azizulhasni akan dimasukkan dalam filem tersebut.
“Kami akan cuba hasilkan filem ini sama hebat seperti ikon sukan yang digambarkan. Untuk filem ini, kami tidak terlalu memasukkan elemen fiction, sebaliknya semua cerita dalam nakshah ini kelak akan menyentuh mengenai kisah benar yang berlaku di sebalik kejayaan Azizulhasni.
“Lokasi penggambaran pula, kami akan pilih lokasi-lokasi asal di mana Azizulhasni membesar di Terengganu, zaman remajanya di Kuala Lumpur serta permulaan era kegemilangannya ketika dia mula berlatih di bawah jurulatih luar negara di Australia. Itu semua kami akan jalankan penyelidikan mengenai biografi Azizulhasni bersama-sama dengan UUM,” katanya. – KopiPlanet.com