
Individu Ugut Sebar Fitnah, Remy Ishak Buat Laporan Polis
Pelakon Remy Ishak membuat laporan polis terhadap seorang lelaki di Balai Polis Ampang semalam gara-gara tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki itu yang dikatakan biadap.
Remy menerusi Insta Story berkata dia membuat laporan itu kerana lelaki itu mengugut untuk menyebarkan fitnah terhadap dirinya.
Walau bagaimanapun, aktor berbadan sasa itu tidak mendedahkan butiran mengenai laporan yang dibuat olehnya semalam.
“Saya baru balik dari balai polis tadi. Saya ada buat laporan polis, ada satu mamat ini dia kurang ajar dengan saya.
“Saya faham sekarang ini zaman dunia viral, dunia yang sangat cepat tapi jangan ambil kesempatan dan jangan aniaya kami (selebriti),” katanya.
Menurut pelakon filem Pulang ini, dia memahami zaman sekarang ramai yang cuba mengejar populariti segera di media sosial namun tidak menyangka akan ada segelintir daripada mereka yang mempergunakan artis dan selebriti bagi mencapai tujuan itu.
“Buat video terutamanya bila berkenaan dengan selebriti sebab nak glamor. Lepas itu, ugut nak viral, nak aibkan, nak fitnah! Come on, where’s your brain? Ada banyak lagi cara lain untuk kau dapat duit.
“Kau buat benda bangang macam ini semata-mata nak satu kampung tahu pasal masalah kau.. Bodoh!,” luahnya. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Remy Ishak