Cerita ArtisHiburan

Benjy Hidap Asma Kronik, Perlu RM1,000 Sebulan Kos Perubatan

Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim, 39, yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Medan, Indonesia dilapor menghidap penyakit asma kronik yang mana menuntutnya memerlukan kos perubatan berjumlah RM1,000 sebulan.

Benjy baru-baru ini menerima kunjungan daripada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang melakukan lawatan pada 15 hingga 17 Disember lalu.

Presiden Seniman, Zed Zaidi menjelaskan Benjy kini sedang menjalani hukuman penjara selama 11 tahun tiga bulan di Penjara Tanjung Gusta, Medan.

“Kami mengunjunginya selepas menerima makluman daripada rakan-rakan artis yang mengatakan Benjy ada menghubungi mereka dengan tujuan untuk meminta bantuan. Kemudian Seniman melakukan kunjungan untuk melihat sendiri keadaan Benjy.

“Benjy kini menderita penyakit asma kritikal dan menurut doktor, dia juga berpotensi untuk menghidap penyakit tibi. Disebabkan dia bukan warganegara, kos perubatan dia sedikit mahal yang mana mencecah RM600 hingga RM1,000 sebulan,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Zed ditemui pada majlis sidang media Seniman Run 2.0 yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini. Sebahagian hasil kutipan yuran penyertaan Seniman Run 2.0 akan disumbangkan kepada keperluan perubatan Benjy di sana.

Zed bersama ahli persatuan Seniman melancarkan Tabung Kebajikan Seniman.

Menurut Zed lagi, Seniman mengambil keputusan untuk membantu Benjy adalah berlandaskan kepada keprihatinan dan kemanusiaan semata-mata.

“Seniman membantu bukan bermaksud kami menyokong kesalahan yang dilakukan olehnya. Yang salah itu tetap salah. Kami membantu di atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan seorang manusia. Ini juga merupakan amanat arwah ibu Benjy, seniwati Azean Irdawaty yang meminta saya untuk menjaga anaknya sekiranya apa-apa terjadi padanya

“Semasa pertemuan itu pun saya lihat air muka penyesalan pada Benjy. Lama dia peluk saya dan Benjy juga beritahu kami orang pertama yang melawatnya sejak dia masuk penjara. Sedih juga tengok keadaan dia macam itu,” jelas Zed lagi.

Surat bertulisan tangan Benjy yang menceritakan keadaannya di penjara.

Seniman Run 2.0 bakal diadakan pada 16 Februari 2019 di sekitar Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Peserta perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM70 bagi kategori 10 kilometer dan RM60 (5KM). Peserta boleh mendaftar menerusi www.racexasia.com/event/seniman-run-2.0 sebelum 31 Disember ini.

Benjy menjalani hukuman penjara selepas didapati memiliki 4.5 gram dadah jenis methamphetamine sejak Oktober tahun lalu.

Dia ditangkap pegawai Kastam dan Eksais sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu di Deli Serdang, Sumatera Utara, 18 April 2017, dan dadah berkenaan ditemui dalam duburnya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button