Cerita ArtisHiburan

Beri Laluan PRU14, Radja Akur Konsert Tangguh Ke 14 Julai Ini

Bagi memberi laluan kepada Pilihanraya Umum ke 14 ( PRU14) yang akan berlangsung pada 9 Mei ini, penganjur konsert Radja Malaikat Cinta iaitu Belbis Sdn Bhd dan AV Group & Symphony Music bersepakat menunda konsert yang dijadualkan pada 5 Mei ini ke tarikh baharu iaitu 14 Julai hadapan.

Walaupun terdapat perubahan tarikh namun lokasi konsert masih kekal sama iaitu di StarXpo Centre, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur bermula jam 8.30 malam.

Menurut wakil penganjur, Afendi Alias, penangguhan konsert itu memberi lebih ruang buat pihaknya mengadakan promosi di kalangan peminat setia kumpulan yang berasal dari Banjarmasin, Indonesia itu.

“Selepas kali terakhir mengadakan persembahan di Malaysia pada 2006, Radja kini kembali menghiburkan peminat mereka di sini.

“Mengenai isu penangguhan tarikh konsert yang ditunda ke 14 Julai, pihak kami mengambil keputusan itu bagi memberi laluan kepada PRU14 terlebih dahulu.

“Bagi kami ia tidak menjadi satu masalah kerana lebih banyak masa boleh diperuntukkan untuk mempromosikan lagi konsert ini di kalangan peminat Radja,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika majlis sidang media Konsert Radja Malaikat Cinta di Restoran Rebung, Kuala Lumpur hari ini.

Radja yang ditubuhkan pada 2001 dianggotai Ian Kasela selaku vokalis, Moldy (pemain gitar), Aldi (pemain keyboard), Ojie (pemain bass) dan Vidin (pemain drum).

Sementara itu Ian yang mewakili rakan-rakannya berkata penangguhan konsert itu langsung tidak mematahkan semangat mereka untuk memberikan yang terbaik buat peminat.

“Kami sedia maklum konsert perlu ditunda bagi memberi laluan kepada pilihanraya umum. Ia langsung tidak menjejaskan momentum persediaan kami bagi konsert kali ini. Kalau diikutkan ini merupakan kali pertama kami mengadakan konsert berskala besar di Malaysia.

“Ini kerana ketika konsert 2006 dulu, kami berkongsi pentas dengan beberapa rakan artis Indonesia, jadi itu bukanlah konsert kami sepenuhnya.

“Kami sangat teruja dan tidak sabar-sabar mahu menghiburkan peminat kami di Malaysia,” katanya.

Menerusi konsert yang dijangka berlangsung selama satu setengah jam itu, Radja akan mempersembahkan seleksi lebih 15 buah lagu hits mereka seperti Benci Bilang Cinta, Jujur, Tulus, Aku Ada Kerna Kau Ada dan single terbaharu, Malaikat Cinta yang merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Moldy.

Tiket-tiket dijual dengan harga RM285 (VIP – duduk dan majlis moktail sebelum konsert) RM215 (Plantinum), RM165 (Gold), RM125 (Silver) dan RM85 (Bronze).

Tiket sudah mula dijual sejak 21 Mac lalu dan ia boleh didapati menerusi laman web www.airasiaredtix.com. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button