• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

“Bidang Nyanyian Lebih Banyak Beri Duit Daripada Lakonan” – Ayda Jebat

Pelakon dan penyanyi Ayda Jebat mengakui bidang lakonan tidak memberikan ‘kemewahan’ kepadanya jika dibandingkan dengan bidang nyanyian yang terlebih dahulu disertainya.

Menurut Ayda, bidang lakonan merupakan antara minatnya dalam bidang seni dan akan terus berada dalam industri selagi khidmatnya diperlukan pihak penerbit.

“Secara jujurnya bidang lakonan tidak bagi saya duit. Kalau saya terima tawaran berlakon, saya tidak fikir pasal duit sebab saya berlakon kerana ‘passion’ mendalam dalam bidang ini.

“Kalau nak buat duit itu bukan dalam lakonan. Duit banyak saya dapat daripada acara persembahan dan royalti lagu-lagu nyanyian saya,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis sidang media Stereo Fest – Festival Muzik Melayu terbesar di Singapura yang berlangsung di Hotel Ibis, Kuala Lumpur semalam.

Menurut Ayda, terbaharu dia bakal kembali ke set penggambaran sebuah drama terbitan JS Pictures Sdn. Bhd yang mana memerlukan dia memotong rambut pendek.

Ketika ditanya kekerapannya dipanggil untuk membintangi drama terbitan rumah produksi milik Sheila Rusly dan suaminya, Jinggo, Ayda menyatakan karya-karya yang dihasilkan mereka berkualiti.

“Bukan saya nak cakap naskhah produksi lain tidak berkualiti. Dengan mereka saya banyak belajar untuk mendalami watak dengan baik, misalnya saya diajar bawa motor dan sebagainya. Lagi satu, saya ada pandangan tersendiri mengenai isu hero dan heroin kita kena bayar tinggi.

“Saya tidak percaya dengan perkara itu sebab kadang-kadang watak hero dan heroin ini lebih sedikit jika dibandingkan dengan watak pembantu. Saya akan cakap dengan produser untuk kurangkan bayaran saya dan beri kepada pelakon pembantu tersebut sebab saya rasa rezeki yang saya dapat itu saya boleh kongsikan dengan orang lain dan mungkin dia lebih memerlukan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, ketika ditanya persiapannya untuk persembahan Stereo Fest yang bakal diadakan pada 22 dan 23 Februari depan di Palawan Green, Sentosa, Singapura, Ayda berkata dia akan diberikan slot selama satu jam untuk menghiburkan peminat di sana.

Selain Ayda, festival muzik itu turut dimeriahkan dengan persembahan daripada Judika, Jaz, Zee Avi, Ismail Izzani, Elizabeth Tan, Andi Bernadee dan penyatuan semula kumpulan 4U2C dan New Boyz.

Tiket berharga RM204, RM384, RM594 dan RM1,104 (sesi meet & greet) boleh didapati dengan melayari laman web www.stereofest.asia. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend