Cerita ArtisHiburan

“Boleh Tengok Macam Mana Saya Pujuk Suami” – Siti Nurhaliza

Pelbagai ‘drama’ menarik yang mewarnai percutian Datuk Seri Siti Nurhaliza sekeluarga bakal ditayangkan secara eksklusif menerusi program travelogue CTDK-ation.

CTDK-ation yang memaparkan gelagat serta ragam 24 ahli keluarga penyanyi popular itu akan ditayangkan selama 10 minggu bermula 29 Disember ini di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (132).

Malah Siti turut mendedahkan ada beberapa sedutan khas bakal ditayangkan seperti babak di mana beliau memujuk suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa yang pada ketika itu sedang marah.

“Macam-macam ‘drama’ sepanjang 20 hari kami bercuti, maklumlah rombongan kami ramai di tempat baru, pelbagai ragamlah yang keluar.

“Kalau nak tengok macam mana Datuk K marah dan macam mana saya pujuk dia, jangan lupa tengok program ini. Bukan senang nak mengumpulkan ahli keluarga bercuti ramai-ramai begini,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media CTDK-ation di Great Eastern Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rombongan yang disertai keluarga besar Siti itu telah menjalani penggambaran Oktober tahun lalu.

Turut menyertainya ialah ibu Siti, Siti Salmah Bachik, ibu mertuanya, Siti Zainab Hanafi serta anak-anak tiri penyanyi itu, Adib, Ashraf dan Aazief.

Portugal, Sepanyol dan Dubai menjadi pilihan rombongan tersebut kerana ingin menyulusuri sejarah Islam di sana pada suatu ketika dahulu. CTDK-ation mendapat kerjasama Ziarah Harmoni Travel and Tours dan Dubai Tourism.

Menceritakan lagi pengalaman menarik sepanjang bercuti, Siti berkata, bilik ibu dan ibu mertuanya sering menjadi perhatian ahli rombongan memandangkan mereka sempat membawa stok makanan kering dan sambal dari Malaysia bagi menghilangkan kerinduan terhadap masakan Melayu.

“Bilik ibu dan ibu mertua sentiasa jadi tumpuan kami anak-beranak memandangkan mereka bawa stok makanan sambal, bilik merekalah yang paling meriah sekali,” seloroh Siti yang kini sedang hamil enam bulan.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, pihaknya memang mencari masa yang sesuai untuk menayangkan CTDK-ation biarpun sudah lebih setahun rakaman program itu berlangsung.

Menurutnya, bulan ini dipilih memandangkan bersesuaian dengan cuti hujung tahun yang mana ramai orang mengambil kesempatan menghabiskan cuti bersama-sama keluarga.

“Program ini tidak pernah dikeluarkan lagi di mana-mana platform dan memang kami simpan sehingga hujung tahun ini kerana ia mempunyai nilai eksklusifnya yang tersendiri.

“Ini kerana kalau kita tengok ahli keluarga Siti kebanyakan dikenali ramai dan sekarang memang masa yang sesuai untuk ditayangkan kerana akhir tahun adalah masa orang pergi bercuti,” katanya. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button