
Buat Masa Sekarang Siti Sarah Selesa Dengan Imej Berturban
Sejak pulang daripada mengerjakan ibadah umrah pada bulan lalu, penyanyi Siti Sarah Raisudin, 34, tampil dengan imej lebih sopan mengenakan tudung dan turban pada setiap kali membuat kemunculan di mata umum.
Menurut Sarah, dia kini berasa lebih selesa menggayakan imej terbaharunya itu dan mengharapkan doa daripada peminat agar dirinya istiqamah dengan perubahan tersebut.
“Doakan saya… Sejak balik dari umrah belum ada rasa nak buka (tudung).
“Apa-apa pun saya masih belajar (untuk menyesuaikan diri dengan imej bertudung),” katanya kepada KopiPlanet.com.
Sarah ditemui ketika menjayakan Special Showcase Siti Sarah bertempat di Matic, Kuala Lumpur semalam.
Persembahan yang dibawakan khas oleh Pinky Pinky itu menyaksikan ibu anak tiga ini menyampaikan seleksi lagu popularnya di hadapan 300 peminat setianya.
Ketika ditanya adakah dia selesa bertudung ketika berada di atas pentas membuat persembahan, Sarah berkata, “Alhamdulilah saya selesa dengan imej ini dan buat masa sekarang saya selesa pakai turban.
“Untuk bertudung, Sarah akan cuba perlahan-lahan sebab yang penting bagi Sarah solat itu yang penting untuk diutamakan,” ujarnya.
Sementara itu, suami Sarah, pelawak dan pelakon Shuib mengakui dia senang hati melihat perubahan positif isterinya dan berharap ia akan terus kekal selama-lamanya.
“Saya suka dengan perubahan Sarah dan tidak dapat dinafikan dia memang kelihatan sangat cantik bila memakai tudung,” katanya.
Special Showcase Siti Sarah yang dibawakan khas oleh Pinky Pinky dan Indigital Music turut menampilkan artis undangan seperti Shuib, bapa Sarah, Raisudin Hamzah, Mark Adam dan Dafi.
Antara seleksi lagu yang dihidangkan Sarah buat peminat setianya seperti Jangan Kau Mimpi, Kesetiaan, Tinggalkan Diriku dan single terbaharunya ciptaan Shuib berjudul Semakin.
Dalam persembahan berdurasi dua jam itu Sarah turut menyanyikan tiga lagu medley daripada idolanya iaitu Whitney Houston, Toni Braxton dan Mariah Carey berjudul Will Always Love You, Unbreak My Heart dan My All. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Siti Sarah & Indigitalmusic