
Drama usaha sama Malaysia-Indonesia, Dia yang bakal ditayangkan bermula 14 Oktober ini mengetengahkan kisah cinta tiga segi yang penuh konfliknya tersendiri.
Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 & TV9, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, drama Dia merupakan kolaborasi pertama TV3 dengan syarikat produksi Indonesia.
“Alhamdulillah, penggambaran untuk drama ini berlangsung dengan lancar sekali. Ini merupakan kali pertama TV3 berkolaborasi dengan syarikat produksi dari Indonesia untuk menghasilkan drama istimewa berjudul Dia.
“Drama ini memaparkan kisah cinta tiga segi dan mempertaruhkan nama-nama besar seperti Janna Nick dan Izara Aishah. Ia bukan sahaja dapat memenuhi citarasa penonton, malahan kami yakin drama ini juga mampu membeli jiwa peminat drama Malaysia. Jadi, Dia merupakan buah tangan daripada TV3 yang tidak harus anda ketinggalan,” ujarnya.
Menurut Siti Nurlisia, drama rantaian sebanyak 60 episod itu turut dibintangi aktor terkenal Indonesia, Irwansyah.
“Sudah pastinya ramai peminat merindui lakonan hebat Pencinta Wanita dari seberang iaitu Irwansyah, yang sudah lama tidak beraksi di kaca televisyen.
Majlis pelancaran drama tersebut telah diadakan di pusat beli-belah One Utama, Damansara, baru-baru ini. Pada masa sama, turut dilancarkan lagu OST drama tersebut yang turut mempunyai judul sama dan dipersembahkan oleh penyanyi popular, Dayang Nurfaizah.
Majlis itu meriah dengan kehadiran semua pelakon utama termasuk Zamarul Hisham, Aleza Shadan dan pelakon cilik Indonesia, Sandrinna Michelle.

Menjalani 30 peratus penggambaran di Indonesia, Dia mengisahkan tentang Adit (Irwansyah) yang telah dijodohkan dengan Emelda (Izara), walaupun Adit sebenarnya amat mencintai Aira (Janna Nick).
Kecewa dengan keputusan Adit, Aira membawa diri ke tempat lain dan bekerja sebagai seorang penulis. Adit berusaha untuk menjaga dan memberi kasih sayang kepada Emelda dengan sepenuh hati walaupun hatinya sebenarnya terpahat nama Aira.
Namun, jodoh mereka tidak panjang apabila Emelda meninggal dunia selepas melahirkan seorang anak perempuan, Icha Aulia (Sandrinna Michelle).
Konflik bermula apabila Adit bertemu semula wanita yang pernah dicintainya iaitu Aira yang kini mula rapat dengan Zaid yang telah lama mendambakan cinta Aira.
Selain berhadapan dengan cinta tiga segi, Adit turut berdepan masalah dengan ibu Emelda yang menyalahkannya di atas kematian anaknya. Adit cuba untuk mendekatkan Icha dengan keluarga arwah isteri yang ‘bermusuhan’ dengannya.
Dapatkah Adit merebut kembali cinta Aira dan mampukah dia berbaik semula dengan keluarga arwah isterinya lebih-lebih lagi dengan ibu mertua yang membencikannya, sama-sama nantikan Dia di kaca tv bermula 14 Oktober ini, setiap Jumaat hingga Ahad, jam 9 malam di TV3. – KopiPlanet.com
Kredit gambar: Instagram TV3