• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Fasha Sandha Bersyukur Diiktiraf Terbaik

Selepas lapan kali memenangi anugerah berlandaskan populariti, pelakon Fasha Sandha melahirkan rasa kepuasan dan kesyukuran atas pengiktirafan trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Skrin 2017 (ASK 2017) yang diterimanya Jumaat lalu.

Menerusi kategori itu, Fasha yang berlakon dalam drama Terima Kasih Ramadan menewaskan empat pesaingnya yang lain iaitu Vanidah Imran, Ellie Suriati, Haliza Misbun dan Nad Zainal.

“Selama 15 tahun bergelar pelakon dan ini kali pertama diiktiraf terbaik dan kemenangan ini adalah rezeki anak-anak dan ibu saya. Saya bersyukur bakat saya diiktiraf dan diangkat setinggi ini.

“Saya tak menjangkakan langsung kemenangan ini, sudah tentu saya tak prepare sebarang ucapan kerana pada saya kemenangan ini adalah milik Ellie Suriati atau Vanidah Imran kerana mereka adalah idola saya. Saya harap dengan kemenangan ini dapat memberi semangat serta membantu saya membuat lebih baik dalam bidang lakonan,” katanya.

Fasha berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis ASK 2017 yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menurut ibu kepada Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima itu lagi, berkat kesungguhan dan keikhlasannya berjuang dalam bidang seni, akhirnya usaha kerasnya selama ini terbalas.

Pelakon itu memberitahu dia memegang kuat pada prinsipnya iaitu, untuk menjadi seorang pelakon yang bagus dan komited, seseorang pelakon tersebut perlulah sentiasa berdisplin dan mempunyai komitmen yang sangat tinggi dalam setiap apa yang dilakukan.

“Pada pandangan saya disiplin dan kesungguhan serta keikhlasan kita bekerja adalah paling penting (untuk terus kekal bertahan). Saya tak masuk ke dalam bidang ini untuk populariti, anugerah ini saya anggap sebagai bonus dalam pekerjaan yang dilakukan,” katanya.

Selepas hampir dua dekad menceburkan diri dalam bidang seni, Fasha menyatakan dia teringin membawakan watak adiwira wanita ataupun anggota beruniform seperti bomba atau polis dalam mana-mana naskhah pada masa akan datang.

“Selepas ini saya teringin nak bawa watak superwoman, bomba atau polis, tetapi sebenarnya watak apa pun semuanya mencabar sebab kita perlu meletakkan diri kita ini seperti orang baharu kerana setiap hari adalah satu proses pembelajaran,” ujar aktres kelahiran Pulau Pinang itu lagi.

Selain Fasha, Azizah Mahzan yang turut sama membintangi Terima Kasih Ramadan berjaya membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend