Cerita ArtisHiburan

Forteen Wakili Semangat Penonton Muda Dalam Gegar Vaganza 5

Program realiti nyanyian Gegar Vaganza acap kali dikaitkan dengan penyanyi-penyanyi bertaraf senior dan berpengalaman dalam bidang seni suara tempatan.

Terbaharu, dengan pengenalan Forteen sebagai peserta Gegar Vaganza musim kelima (GV5), ada suara-suara yang mengatakan mereka masih belum layak untuk berada sebaris dengan barisan peserta yang jauh lebih berpengalaman daripada kumpulan itu.

Menjawab dakwaan itu, Izzue mewakili ahli kumpulannya berkata peluang memasuki GV5 adalah satu benda yang tidak seharusnya dilepaskan mereka begitu sahaja memandangkan peluang sebegitu tidak selalu hadir.

“Tahun ini agak lain sebab buat pertama kalinya, Gegar Vaganza mengetengahkan peserta yang terdiri daripada kumpulan dan duo.

“Walaupun kami baharu tujuh tahun tapi salah satu kriteria untuk masuk GV adalah kena ada lagu hit, bukan bergantung sudah berapa lama dalam industri.

“Saya tak rasa GV5 untuk peserta otai sahaja, dulu kami juga fikir benda yang sama tapi sekurang-kurangnya dengan penyertaan Forteen kita boleh ubah pemikiran penonton yang ingat GV adalah untuk penyanyi-penyanyi lama sahaja.

“Penonton-penonton GV pun bukan semua orang tua-tua, ada juga yang muda-muda kiranya kami mewakili semangat penonton muda dalam rancangan ini,” kata Izzue kepada KopiPlanet.com.

Izzue dan ahli kumpulannya, Riz, Ariz dan Ameerais ditemui pada majlis pengenalan peserta Gegar Vaganza 5 di Palace of Golden Horses, Seri Kembangan baru-baru ini.

Selain Forteen, GV5 turut disertai penyanyi berkumpulan Elite yang diwakili Azza, Sasha dan Linda, duo Billy Zulkarnain dan dua penyanyi solo lelaki iaitu Zamani dan Shafie Rio.

Mereka turut akan dicabar tujuh peserta solo wanita iaitu ratu dangdut Amelina, Farawahida, Noryn Aziz, Safura Yaacob, Maya, Dia Fadila dan Hetty Sarlene.

Juara GV5 akan membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi, naib juara (RM50,000) dan tempat ketiga (RM30,000). Manakala tempat keempat, kelima dan keenam masing-masing akan menbawa pulang wang tunai sebanyak RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

GV5 akan bersiaran pada setiap Ahad jam 9 malam bermula 30 September ini dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan ia akan dipancarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (124). – KopiPlanet.com

Kredit foto: Instagram Official Forteen

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button