• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

“Hairul Bukan Anak Emas, Saya Selesa Kerja Dengan Dia” – Adrian Teh

Pengarah filem Wira, Adrian Teh menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pelakon Hairul Azreen merupakan anak emas dalam filem terbitan syarikat produksinya.

Menurut Adrian yang juga merupakan pengarah filem Paskal, dia sekali lagi bekerjasama dengan Hairul menerusi filem Wira kerana cukup senang bekerja dengan aktor itu yang disifatkannya sebagai seorang yang sangat komited dan profesional dalam melakonkan wataknya.

“Hairul bukan anak emas saya, sebaliknya saya memilih Hairul untuk membintangi filem terbaharu saya, Wira kerana saya seronok bekerja dengan dia yang sangat profesional dalam tugasan yang diberikan kepadanya.

“Ketika dalam sesi pra produksi memang saya dah tak terlintas untuk ambil orang lain dah untuk watak utama filem ini selain daripada Hairul, boleh dikatakan kami memang berjodoh,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Adrian ditemui pada majlis pelancaran filem Wira yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain Hairul, Wira turut dibintangi Fify Azmi, Henley Hii, Josiah Hogan, Dain Said dan dua pelakon aksi Indonesia, Yayan Ruhian dan Ismi Melinda.

Berkongsi lebih lanjut tentang Yayan yang sebelum ini pernah berlakon dalam filem Hollywood seperti Star Wars: The Force Awakens dan John Wick 3, Adrian berkata dia cukup memandang tinggi pada pelakon tersebut yang disifatkan seorang yang sangat merendah diri.

“Bayangkan dia sudah mempunyai pengalaman dalam produksi filem antarabangsa, tapi dia seorang yang sangat merendah diri dan hormat akan kerja saya sebagai seorang pengarah.

“Dia ikut sahaja apa yang saya arahkan dan dia tidak ada ego dia sendiri. Itulah ciri-ciri pelakon yang sangat baik ada pada dirinya dan disebabkan itu saya cukup hormat padanya serta kerja-kerjanya sebelum ini,” katanya lagi.

Wira yang diterbitkan Act 2 Pictures Sdn Bhd bakal ditayangkan bermula 21 November depan. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend