
Ibu Banyak Bantu Lancarkan Kehidupan Seharian Sasha Saidin
Sudah enam tahun melalui kehidupan sebagai seorang ibu tunggal, penyanyi dan pelakon Sasha Saidin bersyukur ibunya, Siti Aishah Abdullah banyak membantu dalam melancarkan kehidupan sehariannya.
Menurut selebriti berusia 42 tahun itu, walaupun ada kalanya dia seakan bergelut dengan kehidupannya namun ibu banyak membantu seperti menghantar dan mengambil anak tunggalnya, Adam Aryasenna Notosoemarsono atau Arya dari sekolah sekiranya dia terlibat dengan aktiviti seni.
“Alhamdulillah, saya tidak pernah mengeluh dengan situasi yang saya lalui. Arya juga seperti memahami. Dia pernah bertanya mengenai bekas suami dan saya jelaskan, hubungan kami tidak lagi baik.
“Saya bersyukur walaupun kehidupan tidaklah semewah mana namun saya bahagia. Ibu banyak membantu saya dalam melancarkan kehidupan seharian. Saya pun bukanlah seorang yang terlalu mementingkan jenama, jadi disebabkan itu saya bersyukur dengan kehidupan serba sederhana yang dijalani kini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Sasha ditemui pada majlis sidang media Mask Run di Wow KL Bistro, baru-baru ini. Selain Sasha, dua lagi selebriti yang terlibat dalam program larian tersebut ialah Azza Elite dan Aiman Tino. Mask Run yang dianjurkan Resilience Studios akan diadakan pada 15 April ini.
Sasha sebelum ini mendirikan rumah tangga dengan pemuzik bebas dari Indonesia, Salyo Priyanto Nutosoemarsono pada 2007. Mereka kemudiannya disahkan bercerai talak satu pada 10 Julai 2012.
Sebelum berkahwin dengan Salyo, Sasha pernah berkahwin dengan seorang jejaka Inggeris, Jason Skinner atau nama Islamnya, Johan Abdullah Skinner pada 2003 di London namun berpisah pada 2007.
Ketika ditanya adakah dia merasa serik untuk mendirikan rumah tangga buat kali ketiga, Sasha berkata dia tidak trauma dengan dua kegagalan sebelum ini namun tidak pula tergesa-gesa mahu mencari pengganti.
“Perkahwinan ini satu perjudian, kita tak tahu sampai bila hubungan sesuatu perkahwinan itu akan bertahan. Saya akui kadang-kala mahukan teman untuk menjadi tempat mengadu.
“Tapi, saya bersyukur ada ibu dan beberapa teman baik yang setia menjadi tempat untuk saya berkongsi masalah.
“Saya juga ada seorang rakan baik lelaki, memang saya senang berkongsi cerita dengannya dan kami boleh bercerita apa sahaja. Tiada hubungan istimewa tapi memang dialah rakan lelaki yang rapat dengan saya sekarang,” ujarnya.
Sementara itu, Sasha berkata dia akan muncul dengan album terbaharu, Kerana Cinta yang akan menemui peminatnya menerusi platform digital bermula 31 Mac ini. – KopiPlanet.com



