
ICSYVMY: Program TV Artis Teka Siapa Penyamar & Penyanyi Sebenar
Lain daripada kebiasaan program realiti nyanyian di Malaysia, I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVMY) berkonsepkan rancangan di mana artis jemputan perlu meneka dengan betul siapa di antara peserta yang terlibat merupakan penyamar ataupun penyanyi sebenar.
Diadaptasi dari program realiti popular Korea Selatan, ICSYVMY mengikut 100 peratus format asal dari negara asalnya.
Menggandingkan dua hos, Shuk Sahar dan Alvin Chong, ia dilihat dapat menarik perhatian penonton dalam memberikan kandungan program televisyen yang berbeza buat peminat tempatan.
Menurut Pengurus Besar Pengurusan Jenama, Intergrasi Digital dan Perolehan, Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Zurina Othman, ICSYVMY sebelum ini telah dibuat dalam versi bahasa Mandarin yang mendapat sambutan hangat daripada penonton.
“Rancangan ICSYVMY ini bukan sahaja berkonsepkan hiburan, ia juga merupakan tempat untuk mereka yang tidak boleh menyanyi dan bersuara sumbang untuk memenangi sesuatu. Kerana sambutan hangat dalam versi bahasa Mandarin yang kini sudah memasuki musim kedua di 8TV, kami yakin versi bahasa Malaysia ini akan mendapat sambutan khalayak ramai,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Zurina ditemui pada majlis pelancaran ICSYVMY di The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.
Selain Shuk dan Alvin, rancangan ini akan dimeriahkan dengan kemunculan penyiasat tetap iaitu Jihan Muse, Mark Adam dan Seelan Paul.
Bagi setiap episod, seorang artis jemputan dan dua orang penyiasat jemputan akan diundang untuk memeriahkan lagi suasana di set ISCYVMY.
Ia menjadi tugaas para penyiasat untuk membantu artis jemputan mendedahkan penyanyi misteri yang mereka rasa adalah penyamar bersuara sumbang.
Setiap penyanyi misteri yang disingkir akan ke pentas penentuan di mana mereka akan mendedahkan suara sebenar masing-masing. Jika penyanyi misteri terakhir merupakan penyanyi sebenar, mereka akan menyertai Showcase ICSYVMY. Namun sebaliknya jika penyanyi terakhir merupakan penyamar, dia akan membawa pulang RM3,000.
ICSYVMY akan ditayangkan pada setiap Sabtu mulai 4 Ogos ini, jam 8.30 malam di saluran ntv7.
Antara barisan artis yang mewarnai ICSYVMY ialah seperti Cakra Khan, Pasha Ungu, Virgoun, Wany Hasrita, Misha Omar, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Kaka Azraff, Faizal Tahir, Ziana Zain, Hazama, Black dan kumpulan De Fam. – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Xtra



