
Indera Bukan Band Eksperimen, Pertaruh Single Pengenalan ‘Sudah’
Ditubuhkan sejak tiga tahun lalu secara underground, Indera Band kini sudah bersedia menakluk pasaran mainstream dengan menampilkan single bergenre pop balada Sudah.
Dibarisi tiga ahli, Indera Band menampilkan Lians Aziz selaku vokalis, Aalan Ahmad (pemain gitar) dan Saiful Nizam sebagai pemain drum. Aalan dan Saiful merupakan bekas anggota kumpulan Sweet Child dan Umberella.
Menurut Aalan Indera Band bukan satu band ekperimen sebaliknya mereka bergabung kerana ingin meneruskan legasi dan pengalaman selain ingin memeriahkan industri muzik tempatan.
“Sebenarnya Indera Band sudah ditubuhkan sejak 2015 tetapi sebelum ini kami bergerak secara underground.
“Kami bergabung pun kerana ada keserasian di antara satu sama lain selain ingin mengetengahkan kembali muzik yang pernah kami perjuangkan sebelum ini,” kata Aalan kepada KopiPlanet.com.
Indera Band ditemui pada majlis pelancaran single Sudah yang turut menampilkan penyanyi rap Hunny Madu yang diadakan di Mutiara Damansara, baru-baru ini.
Menurut Aalan, mereka memilih Hunny Madu untuk berkolaborasi kerana ingin memberikan variasi kepada pendengar.
“Tak pernah lagi ada band rock yang ketengahkan penyanyi rap wanita dalam lagu genre pop balada, jadi kami cuba kelainan itu dengan menampilkan Hunny.
“Untuk lirik rap ini, Hunny sendiri yang karang dalam bahasa Melayu kerana dia ingin memberikan feel berbeza kepada Sudah. Kami harap lagu ini dapat diterima baik oleh pendengar,” kata Aalan lagi.
Sudah dicipta oleh Aalan manakala liriknya pula ditulis Aalan, Saiful, Lians dan Hunny Madu. – KopiPlanet.com