
Isteri Saleem Marah Individu Sebarkan Gambar Suaminya Di Hospital
Isteri kepada penyanyi Saleem, Julia Bachok meluahkan kemarahannya terhadap tindakan individu tidak bertanggungjawab yang menyebarkan gambar suaminya ketika sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Selangor.
Julia mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh kakitangan hospital terbabit memandangkan ia diambil ketika penyanyi itu dimasukkan ke zon merah (zon kritikal).
“Keadaan Saleem stabil dan saya minta doakan yang baik-baik untuk dia. Mengenai penyebaran status yang tular itu, saya ingin jelaskan ia adalah tidak betul sama sekali. Kenyataan itu bukan keluar dari mulut saya sendiri.
“Mengenai gambar pula saya tahu siapa yang sebarkan sebab ia diambil ketika dalam zon merah. Buat masa ini saya sedang bersedih, tetapi lepas ini mungkin saya akan ambil tindakan berhubung perkara ini,” katanya ketika dihubungi KopiPlanet.com.
Menurut Julia, dia kini sedang dalam proses untuk memindahkan Saleem, 57, ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) memandangkan sejarah perubatan penyanyi itu yang sentiasa mendapatkan rawatan di sana sebelum ini.
Status yang tersebar itu mendakwa disebabkan impak kemalangan, ia telah menyebabkan tulang rusuk penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu tertusuk ke bahagian paru-parunya sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Saleem




