
Isteri Sokong Penglibatan Aqasha Dalam GV4
Penyanyi Aqasha menyatakan isterinya, Baizura Sabri memberikan sokongan penuh terhadap penglibatannya sebagai peserta program realiti TV, Gegar Vaganza musim keempat (GV4).
Menurut penyanyi berusia 35 tahun itu, selain isteri, kedua ibu bapanya turut teruja dengan pembabitannya menerusi program hiburan yang mencipta rating tertinggi sejak dua musim terdahulu.
“Alhamdulillah, isteri saya sangat menyokong termasuk kedua ibu bapa saya, terutamanya mak saya, dia yang paling excited.
“Saya dah boleh bayangkan setiap minggu mak saya dah terpacak depan tv nak tengok anak dia. Semuanya mengharapkan saya menang, tapi saya dah cakap dengan mereka yang saya masuk ini hanya untuk buktikan yang saya masih boleh menyanyi dan nak enjoy diri saya di atas pentas,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Gegar Vaganza 4 di The Gardens Theatre, semalam.
Menurut Aqasha, dia mula didekati pihak Astro untuk menyertai GV sejak dari musim ketiga namun disebabkan komitmen lakonan, dia terpaksa menolak tawaran tersebut.

“Dari musim ketiga dah dapat tawaran, tapi saya tak dapat sertai sebab terikat dengan komitmen kerja, Alhamdulillah tahun ini mereka ada kesudian panggil saya dan saya pun tiada apa-apa halangan untuk menyertainya kali ini,” katanya yang menyifatkan Aishah sebagai pencabar utama dalam saingan kali ini.
Memandang tinggi pada pengalaman penyanyi senior itu, Aqasha berkata, dia berasa kerdil jika dibandingkan dengan barisan peserta yang lain.
Bagi mempersiapkan dirinya dalam pertandingan itu, Aqasha kini sedang memperkuatkan staminanya bagi menjaga nada dan kawalan vokalnya.
“Saya rasa kecil jika dibandingkan dengan penyanyi seperti Aishah, Hazami, Ferhad, Liza Hanim dan Tia Jimbara, sebabnya semua ini penyanyi yang memang dah terkenal.
“Pengalaman yang dimiliki Aishah memang saya tak boleh tandingi, kerana bakat tidak akan ke mana-mana tanpa berbekalkan pengalaman dan persediaan yang rapi,” ujarnya lagi.
GV4 disertai 12 peserta yang terdiri daripada Aqasha, Lan Kristal, Tia Jimbara, Ferhad (Singapura), Hazami, Firman (Indonesia), Elyana, Liza Hanim, Aishah, Haida Hafiz, Syura dan Raja Azura.
Masih mengekalkan hos Nabil Ahmad dan Jihan Muse, GV4 akan mula bersiaran pada 29 Oktober ini dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil. – KopiPlanet.com