Janna Tak Perlukan Gimik Untuk Lariskan Lagu
Pelakon dan penyanyi Janna Nick mengatakan dia tidak memerlukan sebarang jenis gimik demi melariskan sesuatu produknya baik dari segi lakonan mahupun nyanyian.
Janna yang kini muncul dengan single terbaharu Akan Bercinta percaya kepada hasil dan kualiti produknya yang akan bercakap bagi dirinya sendiri.
“Saya daripada dulu tak guna benda-benda viral untuk lariskan sesuatu produk saya.
“Kalau nak dari dulu saya dah buat tapi saya tak biasa (gunakan strategi sebegitu).
“Kalau kita dah bagi yang terbaik, ia mampu melariskan sesuatu produk. Cukup dengan kualiti sesuatu produk itu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single dan muzik video Akan Bercinta di Neway One Utama, Damansara hari ini.
Yang menariknya untuk muzik video Akan Bercinta, Janna sendiri telah mengarahkannya dan ia merupakan percubaan pertamanya dalam bidang pengarahan.
Setakat ini, muzik video tersebut telah berjaya meraih tontonan lebih daripada 300,000 sejak ia dimuat naik tiga hari lalu.
“Muzik video ini saya arahkan sendiri dan ia dirakamkan di Rom, Itali pada pertengahan bulan lalu.
“Muzik video ini bertemakan ‘classical look’ seperti mana yang diinginkan saya.
“Saya sebenarnya simpan cita-cita nak jadi pengarah tapi biarlah jadi pengarah yang berilmu. Banyak lagi saya perlu belajar dan harap-harapnya lepas ini saya dapat peluang arahkan muzik video penyanyi lain pula selepas ini,” katanya.
Selebriti cantik berusia 22 tahun ini juga mendedikasikan single terbaharunya itu kepada semua peminat setianya yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini.
Akan Bercinta merupakan single kedua Janna selepas Mungkin Saja. Ia merupakan hasil ciptaan sepenuhnya Aepul Roza.
Akan Bercinta turut menjadi lagu tema drama bersiri adaptasi Korea Selatan, Coffee Prince yang dilakonkan Janna dan Fattah Amin. – KopiPlanet.com



