Justin Bieber Pertahan Pengurus Daripada Diburukkan Taylor Swift
Penyanyi Justin Bieber mempertahankan pengurusnya, Scooter Braun daripada dakwaan Taylor Swift yang mengatakan Scooter sering membulinya ketika penyanyi wanita itu berada di bawah pengurusannya sebelum ini.
Dalam satu Instagram post, Justin meminta maaf kepada Taylor di atas ketidakprihatinannya terhadap Taylor berhubung satu post yang dikatakan mengganggu Taylor.
Post tersebut menunjukkan satu paparan screen shot Justin mengadakan panggilan video bersama Scooter dengan menulis kapsyen, “Taylor Swift what up”.
Taylor kemudiannya menerusi Instagram Story memuat naik posting Justin dengan mengatakan Justin seolah-olah berniat memerlinya dengan kapsyen itu selain menyelitkan gambar Scooter dalam post terbabit.
Susulan respon Taylor itu, Justin kemudian memuat naik satu permohonan maaf kepada Taylor namun menyifatkan penyanyi lagu Me itu sebagai tidak matang.
“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kerana memuat naik posting tersebut. Saya harus berterus-terang kapsyen itu memang saya yang tulis dan ia tiada kena mengena dengan Scooter malah dia turut menegur saya agar tidak menggunakan kapsyen sebegitu.
“Beberapa tahun ini kita tidak pernah bertemu atau berkomunikasi jadi untuk kamu meletakkan perkara ini di media sosial dan membuatkan orang ramai membenci Scooter adalah tidak adil.
“Apa yang kamu nak dengan menyiarkan posting tersebut. Saya rasa kamu seolah-olah mahukan simpati dan meminta peminat kamu membenci Scooter.
“Apa yang saya tahu, saya dan Scooter sayang kamu. Saya rasa medium yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ini adalah dengan berkomunikasi. Saya tak percaya kita dapat selesaikan apa-apa masalah menerusi media sosial. Saya percaya Scooter dan saya teringin berbual dengan kamu untuk selesaikan masalah di antara kita.
“Kami tidak pernah berkata perkara buruk tentang kamu kerana kami hanya doakan yang terbaik untuk kamu,” tulis suami kepada model Hailey Baldwin itu.
Tindakan Justin memuat naik permohonan maaf itu kemudiannya menerima komen membina daripada isterinya, yang memuji perbuatannya itu sebagai satu langkah mulia sebagai seorang yang berbudi bahasa. – KopiPlanet.com