
Kajol Tak Mahu Kisah Hidup Dijadikan Naskhah Filem
Aktres Bollywood, Kajol berkata dia tidak akan sesekali menjadikan kisah hidupnya diangkat menjadi sebuah filem.
Menurut Kajol, dia lebih selesa peminat tidak mengetahui mengenai kisah hidupnya.
“Saya tidak mahu orang buat filem biopik tentang diri saya. Saya cuma menjalani kehidupan seperti yang diinginkan dan ketika ini sangat menikmati hidup seperti biasa,” katanya.
Kajol yang merupakan anak kepada pelakon veteran Tanuja memulakan karier seni dengan membintangi filem Bekhudi pada 1992.
Namanya terus mekar selepas itu apabila membintangi pelbagai filem blokbuster seperti Dilwale Dulhania Le Jayenge, Kuch Kuch Hota Hai, Hum Aapke Dil Mein Rehte Hain dan Kabhi Khushi Kabhie Gham.
Ketika ditanya apa pengalaman yang diraihnya sepanjang bergelar anak seni, Kajol menjawab, “Saya tidak pernah menyesal terlibat dalam mana-mana filem yang pernah dilakonkan. Saya gembira dengan apa yang sudah direncana untuk perjalanan karier yang hampir mencecah tiga dekad ini.”
Kejayaan Kajol mewarnai industri perfileman Bollywood baru-baru ini diiktiraf apabila dia dianugerahkan trofi Penghibur Ikonik di sebuah majlis keraian baru-baru ini.
Isteri kepada aktor Ajay Devgan itu berkata dia sangat terharu apabila semua hasil kerjanya selama ini dihargai masyarakat di luar sana. – KopiPlanet.com