FilemTerkini

Keadaan Cuaca Tidak Menentu Jadi Cabaran Utama Ketika Hasilkan Coast Guard Malaysia: Ops Helang

Bukan mudah untuk menerbitkan filem genre aksi Coast Guard Malaysia : Ops Helang arahan Allahyarham Pitt Hanif yang mengangkat cerita wira perairan negara itu ke layar perak.

Menurut Penerbit Eksekutif, Flying Deals Sdn Bhd yang juga penulis skrip filem ini, Rozita Mat Isa, banyak kajian yang perlu dibuat untuk menghasilkan skrip filem berkenaan.

“Idea untuk menghasilkan filem ini tercetus pada 2017. Semuanya bermula dengan cadangan dari seorang rakan di Maritim Malaysia.

“Saya mahu jelaskan di sini kerana ramai pihak yang keliru mengenai idea asal filem ini. Dari segi konsep, idea asal, struktur awal cerita dan skrip semuanya dari saya dan team Flying Deals Sdn Bhd,” katanya.

Rozita berkata, dia yang mengetuai projek filem itu dengan dibantu penulis skrip bersama Jason Chong serta Penerbit filem ini, Muhammad Hady Yusry Makmor.

“Selepas kajian selesai, pihak kami mengemukakan kertas cadangan serta berbincang dengan pihak atasan Maritim Malaysia sehinggalah projek ini mendapat kelulusan dari pihak mereka.

“Selepas kertas cadangan diluluskan pihak Maritim Malaysia barulah kami menyiapkan skripnya pula.

“Pihak kami juga mengundang Arie Zaharie Production sebagai penerbit bersama selepas projek filem ini mendapat kelulusan dari pihak Maritim Malaysia dan skrip serta idea asal semuanya sudah siap sedia,” katanya.

Berkongsi cabaran ketika penggambaran filem Coast Guard : Ops Helang, kata Rozita, masalah paling besar ialah keadaan cuaca yang tidak menentu seperti jerebu, hujan lebat, ribut dan laut yang bergelora sepanjang mereka berkampung selama tiga bulan di Pulau Langkawi, Kedah.

“Paling mencabar ialah babak penggambaran di Pulau Ayam yang diletupkan kerana ia berhampiran dengan Laut Andaman. Kos untuk meletupkan perkampungan di Pulau Ayam itu juga mencecah RM400,000.

“Pada masa sama, pihak kami perlu memastikan keselamatan pelakon dan kru yang berada berhampiran kerana pulau itu memang tiada penghuni,” katanya.

Rozita tidak menafikan penggambaran filem di kawasan laut memang sangat mencabar berbanding di darat.

“Dari Pekan Kuah, kami perlu menaiki bot untuk ke Pulau Ayam. Bukan mudah untuk menukar bot ketika waktu laut bergelora.

“Bayangkan barisan pelakon dan kru terpaksa berulang alik menaiki sampan yang kecil untuk penggambaran di kapal besar di tengah laut ketika laut bergelora.

“Pernah barisan pelakon dan kru tidak dapat meneruskan penggambaran di kapal kerana mabuk laut akibat laut bergelora.

“Bagaimanapun, ada anggota Maritim Malaysia yang sentiasa bersiap sedia membantu menjaga keselamatan barisan pelakon dan kru ketika penggambaran,” katanya.

Pada masa sama, kata Rozita, pihaknya perlu lebih mengawasi keselamatan pelakon terutama watak utama iaitu Saharul Ridzwan (watak Leftenan Maritim Hafiz) yang tiada asas dan pengalaman menyelam di laut.

“Saharul perlu menjalani latihan rapi dengan bantuan jurulatih profesional sebelum penggambaran dimulakan. Pelakon belajar menyelam di kolam renang dan pastinya mereka berasa takut bila menyelam di laut yang terbuka luas,” katanya.

Mengulas babak ganas pula, kata Rozita, pihaknya mendapat nasihat dan bimbingan dari pihak Maritim Malaysia sebelum penggambaran dimulakan.

“Pihak kami juga memberi penerangan kepada pihak Maritim Malaysia kepentingan babak itu dalam filem ini ketika sesi ‘brainstorming’.

“Contohnya, kita nak buat babak penggal kepala untuk menunjukkan pengorbanan pasukan Maritim Malaysia dan kerjaya mereka yang berisiko tinggi.

“Objektif kita buat filem ini juga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pengorbanan pasukan Maritim Malaysia ini menjaga perairan negara kerana ramai yang tidak tahu mereka juga memiliki pasukan risik dan CSI,” katanya.

Tidak ketinggalan, kata Rozita lagi, pihaknya juga menyelitkan elemen komersil untuk menarik penonton.
“Babak imej janaan komputer (CGI) dalam filem yang mencecah kos RM13 juta ni juga hanya membabitkan sebanyak 30 peratus.

“Dalam filem ini, pihak kami turut memaparkan pihak Maritim Malaysia turut menerima ancaman dari pihak luar sekali gus untuk menonjolkan kerja dan cabaran tugas anggota Maritim,”katanya.

Filem Coast Guard Malaysia : Ops Helang ini mula ditayangkan di pawagam seluruh negara termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei sejak 2 Februari lalu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button