
Kelab Peminat Fattah Amin, #TheFATeam Telah Dibubarkan
Kelab peminat pelakon popular Fattah Amin yang dikenali sebagai #TheFATeam akhirnya telah dibubarkan berkuat kuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Instagram kelab peminat tersebut, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Dengan berat hatinya, kami ingin mengumumkan bahawa hari ini adalah hari terakhir kami sebagai Official Fan Club Fattah Amin. Dan mulai esok #TheFATeam akan dibubarkan. Tiada lagi #TheFATeam selepas ini.
“Keputusan ini telah dibuat setelah kami timbang tara sedalam-dalamnya, mengambil kira pelbagai faktor, baik dan buruk bagi semua pihak terutamanya Fattah Amin, insan yang sama-sama kita sayangi,” jelas kenyataan tersebut.
Dalam kenyataan itu lagi, keputusan yang dibuat itu sememangnya berat. Namun, keputusan bersama telah dibuat untuk kami lepaskan #TheFATeam atas sebab-sebab tertentu.
“Kami memohon maaf sekiranya kenyataan kami menimbulkan perasaan kurang senang mana-mana pihak. Tidak pernah terlintas untuk kami menimbulkan kacau bilau, apatah lagi untuk menjatuhkan maruah sesiapa pun seperti yang digambarkan sesetengah pihak,” ujar kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, usaha KopiPlanet.com untuk mendapatkan lagi kenyataan di laman Instagram berkenaan tersebut tidak berjaya apabila akaun berkenaan telah dipadamkan. – KopiPlanet.com
Kredit Foto: Instagram Fattah Amin