
Kembali Berlakon Drama, Noorkhiriah Sudah Sedia Dikecam Netizen
Setelah lebih setahun tidak tampil di kaca televisyen, pelakon Noorkhiriah menyatakan dirinya sedia dikecam netizen gara-gara watak yang dibawakannya dalam drama bersiri Nur yang sudah mula ditayangkan di TV3 untuk slot Samarinda.
Noorkhiriah berkata, dalam drama berkenaan dia membawakan watak antagonis bernama Aishah iaitu seorang wanita bertudung labuh, tetapi mempunyai hati yang sangat busuk dan ia merupakan kali pertama ia membawakan watak sedemikian.
“Kalau sebelum ini orang lebih mengenali saya dengan watak baik, gadis kampung atau watak air mata. Namun, untuk drama ini agak berbeza dan sudah bersedia sekiranya dikecam netizen terutamanya penonton.
“Bagaimanapun, ia juga menjadi salah satu sebab saya tertarik untuk berlakon drama ini setelah dikatakan ‘merajuk’ sehingga mengambil keputusan untuk berhenti berlakon sejak setahun yang lalu,” ujarnya ketika ditemui semasa majlis previu rancangan TV3 sempena bulan Ramadan.
Menurutnya, biarpun baru satu episod ditayangkan di kaca televisyen, Noorkhiriah menyatakan dia sudah mendapat pelbagai maklum balas daripada mereka yang menonton drama berkenaan.
“Begitu banyak komen-komen yang diberikan di laman sosial sehingga saya membacanya sampai pukul 2.00 pagi. Ramai yang kata tak sanggup melihat saya bawa watak sebegitu, namun saya gembira kerana lakonan saya dalam drama berkenaan diterima ramai,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya apa yang membuat dia tergerak hati untuk kembali berlakon semula, pelakon itu memberitahu secara jujur dia begitu rindukan dunia lakonan yang telah diceburi sejak sekian lama.
Ujarnya, tidak dinafikan sepanjang setahun tidak berlakon dia masih lagi ada menerima beberapa tawaran daripada pengarah, namun terpaksa menolaknya kerana agak kecewa dengan industri lakonan.
“Pada asalnya memang saya sudah tidak mahu berlakon lagi, tetapi saya akui rindu terhadap lakonan itu masih mendalam. Jadi, setelah difikirkan semasak-masaknya saya telah ambil keputusan untuk berlakon semula.
“Lagipun rasa sayang sangat untuk saya terus tinggalkan dunia lakonan selama-lamanya. Apatah lagi saya telah ceburi bidang ini dalam tempoh yang cukup lama,” ujarnya.
Sepanjang menyepi buat seketika dalam lakonan, pelakon itu memberitahu dia banyak memberikan tumpuan kepada perniagaan secara dalam talian dan menyertai pelbagai karnival jualan yang dianjurkan. – KopiPlanet.com



