Cerita ArtisHiburan

Kerana Dukun, Umie Aida Terpaksa Duduk Serumah Dengan Ular

Biarpun mempunyai masalah fobia dengan ular namun demi merealisasikan wataknya sebagai seorang dukun, Datin Paduka Umie Aida terpaksa menepis perasaan gelinya terhadap reptilia itu.

Demi menjayakan watak Diana Dahlan, Umie telah membela seekor ular selama dua bulan bagi lebih memahami gerak dan lenggok haiwan berbisa itu.

“Untuk watak Diana, saya telah bela seekor ular selama dua bulan. Ketika itulah saya kaji gerakan dan mata ular selama tempoh itu, malah dia pun tidur dengan saya.

“Walaupun saya geli dengan ular tapi saya ambil cabaran ini untuk menjadikan watak saya kelihatan hidup.

“Apa yang anda lihat dalam filem itu, gerakan dan ekor mata watak Diana ini memang seakan-akan jelmaan ular sebab saya cuba gambarkan yang Diana ini sebenarnya seekor ular,” katanya kepada KopiPlanet.com pada majlis tayangan perdana filem Dukun di TGV KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Setelah hampir 12 tahun terperap, akhirnya Dukun berjaya ditayangkan di pawagam bermula hari ini.

Sebagai seorang pelakon pastinya Umie berasa gembira dengan perkhabaran tersebut memandangkan ini merupakan antara nakshah lakonannya yang cukup warna-warni dalam segi mencorakkan watak tersebut.

“Alhamdulilah saya tidak menyangka filem yang sudah 12 tahun terperap akhirnya dapat ditonton kepada umum.

“Ia satu kepuasan buat saya apabila akhirnya dapat berkongsi cerita dan watak yang saya suka kepada orang di luar sana,” katanya.

Tidak terlepas diganggu perkara misteri, Umie mendedahkan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya ketika menjayakan babak di Penjara Pudu.

“Sementara menunggu untuk babak seterusnya, saya jalan-jalan dulu di sekitar penjara dan apabila saya terpandang bilik akhir (bilik untuk banduan yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati), tiba-tiba hati saya terdetik ‘apalah yang mereka (banduan) rasakan?’ dan tidak semena-mena badan saya menggigil teruk ketika itu.

“Kalau saya tak boleh kawal, rasanya dah boleh kena histeria waktu itu. Saya pun cepat-cepat berzikir. Itulah ketika berada di tempat-tempat sebegitu, kita memang tak boleh terdetik untuk fikir-fikir macam itu, sekali gus dia tunjuk. Itu antara pengalaman yang saya tak boleh lupakan sepanjang penggambaran itu,” jelas Umie lagi.

Dukun yang diarahkan oleh Dain Said turut dibarisi pelakon seperti Faizal Hussein, Elyana, Namron,Bront Palarae dan Mislina Mustaffa.

Ia mengisahkan seorang dukun, Diana Dahlan yang didakwa membunuh seorang kenamaan sehingga kesnya mendapat liputan meluas daripada semua pihak.

Dukun dikatakan mendapat inspirasi daripada satu kisah pembunuhan berprofil tinggi yang pernah menggemparkan negara pada satu ketika dahulu. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button