Cerita ArtisHiburan

Kiut Juara Gegar Lawak, Dedikasi Kemenangan Kepada Arwah Yus

Setelah lapan minggu bersiaran, program pencarian bintang komedi baharu, Gegar Lawak musim pertama telah menobatkan kumpulan berasal dari Pulau Pinang, Kiut sebagai juara dalam pertandingan akhir yang berlangsung di Studio Sound Stage Finas, Hulu Klang, Jumaat malam.

Dengan kemenangan itu, Kiut yang dianggotai tiga sahabat baik, Hanaffi, Zam dan Tapai berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Selain berterima kasih dengan sokongan yang diterima daripada keluarga, rakan dan peminta, Kiut juga turut mendedikasikan kemenangan kepada sahabat baik mereka, Allahyarham Yus.

“Kami tak sangka menang sebab memang niat kami masuk hanya sekadar mahu menghiburkan penonton dengan lawak-lawak kami sahaja.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki dan kami ingin dedikasikan kemenangan ini kepada arwah Pak Yus yang telah hampir tiga tahun meninggalkan kita.

“Kalau nak tahu saya memang rapat dengan arwah sejak sama-sama kenal ketika saya masuk top 30 School of Lawak dan daripada situ saya sentiasa ikut dia ke mana-mana persembahan. Arwah banyak mengajar kami tentang dunia komedi sebab itu kami ada selitkan segmen khas untuk arwah tadi,” kata Tapai mewakili ahli kumpulannya.

Dengan wang RM50,000 yang dimenangi, Kiut berhasrat ingin membawa ahli keluarga masing-masing bercuti di Langkawi bagi merehatkan diri selepas tiga bulan berperah idea untuk menghasilkan sketsa komedi yang mampu menggeletek hati penonton.

Sementara itu, naib juara pula digondol oleh wakil tunggal peserta wanita yang berasal dari Sabah, Nik Amira Syahira Nik Zaini atau Eyya menerima wang tunai RM25,000 beserta trofi.

Tempat ketiga, keempat dan kelima yang dimenangi kumpulan Abata diwakili Ilham, Alham dan Mus ,Padil, kumpulan 2B (Man dan Weera), masing-masing membawa pulang wang tunai RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.

Pertandingan akhir ini turut menobatkan Kiut sebagai Man Of Demand yang dipilih berdasarkan persembahan menghiburkan minggu ini.

Kesemua lima finalis diadili oleh dua juri tetap iaitu Douglas Lim dan Datuk Ac Mizal serta juri jemputan, Nabil Ahmad.

Juri mewakili sebanyak 70 peratus markah manakala selebihnya menerusi undian sistem pesanan ringkas (SMS) penonton.

Gegar Lawak yang dihoskan Kamal Adli dan Fad Bocey disiarkan secara langsung menerusi Astro Warna saluran 132 dan Warna HD 124.

Program realiti ini mula bersiaran sejak 26 Januari lalu dengan 14 peserta yang terdiri daripada solo dan juga berkumpulan. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button