
Nick & Priyanka Luang Masa Ziarah Rumah Anak Yatim
Sehari selepas sah bertunang, pasangan popular Nick Jonas dan tunangnya, aktres Priyanka Chopra mengambil kesempatan berkunjung ke sebuah rumah anak yatim di Mumbai, India.
Kehadiran mereka ke situ adalah bertujuan untuk menghiburkan kanak-kanak dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan seperti pertandingan menari bersama aktres popular itu.
Nick turut berkongsikan sebuah video menerusi Instagram Story memaparkan tunangnya menari bersama salah seorang kanak-kanak perempuan.
Pertunangan pasangan ini berlangsung Sabtu lalu mengikut adat Hindu. Nick hadir ditemani kedua ibu bapanya, Kevin Jonas Sr dan Denise.
Kedua-duanya kemudian berkongsikan gambar majlis tersebut beserta kapsyen manis yang menggambarkan perasaan mereka di atas pertunangan itu.
Nick, 26, melamar Priyanka pada ulang tahun ke-36 pelakon itu pada 18 Julai lalu di kota London selepas menghabiskan masa bercuti di sana.
Perkenalan mereka bermula apabila digandingkan beriringan bersama di karpet merah majlis amal Met Gala tahun lalu.
Pertunangan mereka turut direstui kedua abang Nick, Kevin dan Joe yang gembira serta mengalu-alukan kedatangan Priyanka ke dalam keluarga mereka. – KopiPlanet.com



