
Lepas Jadi Badang, Aliff Syukri Tolak Watak Bapa Ayam
Walaupun filem pertama lakonannya iaitu Badang masih belum lagi ditayangkan, pengasas produk kecantikan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri mendedahkan beliau banyak mendapat tawaran lakonan daripada penerbit.
Namun begitu, disebabkan ingin mengekalkan imejnya dengan watak-watak yang baik, beliau memberitahu terpaksa menolak satu tawaran filem membawakan watak bapa ayam yang ditawarkan kepadanya baru-baru ini.
“Saya banyak dapat tawaran filem dan drama, tetapi ada satu saya tolak sebab dia suruh saya jadi bapa ayam jual pelacur. Watak-watak macam itu memang saya tidak ambil.
“Saya nak meletakkan imej watak saya sebagai seorang lelaki yang macho dan baik. Saya tidak mahu ambil watak yang terpesong daripada imej-imej yang cuba digambarkan itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran restoran miliknya, Romah Makan Terlajak Laris di Kota Damansara hari ini.
Menerusi filem Badang yang bakal ditayangkan bermula 15 Februari ini, Aliff membawakan watak seorang yang selalu dibuli akhirnya memiliki kuasa adiwira luar biasa yang ingin membalas dendam terhadap individu yang telah menyebabkan kematian ibunya.
Selain Aliff, filem arahan Datuk Profesor Dr. Razak Mohaideen itu turut dibintangi Fasha Sandha, Fauzi Nawawi, Dynas Mokhtar, Nadia Brian dan Norman Hakim.
“Filem ini merupakan kombinasi cerita Buluh Betong dan Badang. Filem Badang ini juga seolah-olah menceritakan kisah sebenar saya juga, yang mana ketika di zaman kanak-kanak pun saya selalu dibuli. Secara tidak langsung ia ada sedikit persamaan dengan kisah hidup saya,” katanya lagi.
Walaupun tidak putus-putus mendapat tawaran berlakon, namun Aliff telah meletakkan syarat beliau hanya akan memilih beberapa sahaja tawaran dalam masa setahun.
“Saya banyak dapat tawaran drama tapi saya letak target dua atau tiga lakonan sahaja dalam masa setahun. Dunia lakonan ini nampak seronok tapi penat sebenarnya,” katanya yang mendapat hasil tunjuk ajar daripada dua cikgu lakonan iaitu Ellie Suriaty Omar dan Zack Zahari menerusi filem Badang. – KopiPlanet.com



