Mahkamah Perintahkan Farid Kamil Direman Sehingga Isnin Depan
Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Perintah itu dibuat Majistret Zaki Asyraf Zubir di Kompleks Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi tadi.
Prosiding itu mengambil masa kira-kira 15 minit sebelum aktor itu dibawa keluar pada pukul 10.50 pagi.
Terdahulu, pelakon itu tiba di mahkamah dengan menaiki trak polis pada pukul 10.07 pagi.
Turut kelihatan di mahkamah iaitu adiknya, Fadzil Zahari yang juga merupakan suami kepada pelakon, Yana Samsudin.
Isteri Faridk, Diana Danielle difahamkan tidak dapat hadir bersama disebabkan sedang menjalani penggambaraan.
Farid ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana perlakuan yang menyebabkan kecederaan.
Selain itu, Farid juga direman atas Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Farid ditahan selepas didakwa menampar anggota polis dan menendang orang awam ketika berada di Balai Polis Trafik, Kota Damansara semalam.
Dalam saringan ujian air kencing aktor berusia 37 itu didapati positif dadah jenis ganja. – KopiPlanet.com



