
Masih Miliki Kesabaran, Penceraian Mungkin Jalan Terakhir – Bella Astillah
Penyanyi Bella Astillah menyatakan penceraian mungkin merupakan jalan terakhir yang akan diambil bagi meleraikan kemelut rumah tangga yang dihadapinya bersama suami, Aliff Aziz.
Ini kerana Bella menjelaskan buat masa ini dia masih lagi memiliki kesabaran selain memikirkan cahaya mata tunggal, Mohamad Ayden Adrien.
“Setakat ini saya masih lagi memiliki kesabaran dan yang paling penting, saya sayangkan masjid yang kami bina. Dalam hal ini, saya tidak mahu menjadi selfish demi anak tunggal kami.
“Lagipun dalam keluarga saya tidak pernah ada sejarah berlaku penceraian. Jadi, saya tidak mahu Adrian membesar tanpa ibu dan bapa sebab dia rapat dengan bapa dia,” luahnya.
Dia berkata demikian kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis minum petang amal Charity-Tea anjuran ADRF di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur hari ini.
Jelasnya, penceraian mungkin merupakan jalan terakhir yang akan difikirkannya, tetapi buat masa ini dia hanya mahu meneruskan kehidupan seperti biasa.
Menurut Bella, ketika ini dia enggan terlalu memikirkannya kerana ingin memberikan tumpuan terhadap perniagaan biskut raya yang diusahakan bersama ibunya.
“Saya hanya berserah dan tawakal selepas beberapa kali melakukan solat istikarah. Seperti yang saya cakapkan tadi, penceraian adalah jalan terakhir yang mungkin berlaku.
“Orang luar boleh bercakap apa sahaja termasuk melihat saya bercerai atau tidak, namun segala keputusan adalah di tangan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Bella menyatakan setakat ini dia dan Aliff masih belum tinggal sebumbung dan hanya sesekali berjumpa demi anak mereka.
Sebelum ini, Bella mendedahkan kecurangan Aliff dengan seorang pelakon baharu, Oktovia Manrose menerusi laman Instagram pada Februari lalu.
Malah, ia bukan kali pertama Aliff didedahkan curang kerana sebelum itu, kes sama berlaku di antaranya dengan adik Anzalna Nasir iaitu Afifah Nasir. – KopiPlanet.com



