• FOLLOW US
Filem, Review

Misteri Plot Twist Kekuatan Wangi, Erra Papar Sisi Lain Lakonan

Tajuk: Wangi
Tarikh Tayangan: 5 September 2019
Durasi: 1 jam 31 minit
Genre: Seram
Pengarah: Latif Zami
Pelakon: Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda, Syazwan Zulkifli, Ruminah Sidek
Klasifikasi: P18

Membawakan genre psiko thriller dan seram, Wangi membariskan pelakon terkenal seperti Erra Fazira, Sharnaaz Ahmad, Nabila Huda dan Syazwan Zulkifli yang tidak perlu disangkal lagi kehebatan lakonan mereka.

Setiap watak memainkan peranan penting bagi mewarnai filem ini sehingga membuatkan penonton terpukau dengan lakonan mereka yang realistik. Filem Wangi terbitan Resilience Studios Sdn. Bhd ini juga cukup istimewa bagi Erra yang sememangnya sebelum ini sering kali diberi watak yang manis dan romantis namun kali ini, Wangi membuatkannya terpaksa mengharungi pelbagai emosi sebagai seorang isteri dan ibu kepada dua cahaya mata. Filem ini harus ditonton buat semua peminat yang merindui lakonan cemerlang Erra yang digelar Primadona Filem Melayu ini.

Sharnaaz pula menampakkan kredibilitinya sebagai pelakon serba boleh menerusi ekspresi wajahnya yang cukup berkesan dan meyakinkan menerusi wataknya sebagai Khuzairi. Manakala, Nabila pula cukup rencah membawakan watak penggoda dengan cemerlang. Menerusi gerakan badan dan lirikan mata sahaja sudah cukup membuatkan penonton ‘resah’ dengan gaya nakalnya itu.

Walaupun diberi peranan kecil dan muncul hanya pada pengakhiran cerita, namun watak Mia Nasir dilihat penting bagi merungkaikan segala penamat kepada misteri yang membelenggu watak utama filem ini.

Jalan cerita yang mudah dihadam membolehkan penonton kekal menonton dengan santai tanpa perlu berfikir secara berat seperti mana yang dimahukan oleh penerbitnya, Shuhada Mohd. Kelibat entiti atau hantu bukan merupakan satu tema utama filem ini namun kehadirannya cukup memberikan sisi seram kepada filem ini yang dibuat dengan secukup rasa.

Daripada segi sinematografi, ia cukup berseni dengan mainan warna yang serasi dengan cuaca mendung yang ingin digambarkan dalam filem ini. Lebih-lebih lagi pada babak akhir yang kelihatan cukup berseni dan mendamaikan dengan suasana resort di sekelilingnya walaupun pada ketika itu ia disinari dengan adegan kejam. Ia merupakan satu ironi yang cukup cantik untuk dibawakan dalam penerbitan filem tempatan.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur dan Manchester serta Liverpool, Wangi yang bakal ditayangkan di 79 buah pawagam seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura mengisahkan tentag Nor yang baharu pulang ke rumah selepas melahirkan cahaya mata kedua. Sepanjang tempoh berpantang, Nor telah dijaga oleh ibunya. Dalam pada itu, Nor juga menyedari ketiadaan pembantu rumah yang juga merangkap adik angkatnya, Bella.

Khuzairi memberitahu Nor bahawa Bella telah bergegas pulang ke Amsterdam dengan alasan untuk berkahwin dengan kekasihnya iaitu Azlan. Nor yang kemudiannya sangsi dengan kehilangan Bella cuba mencarinya namun akhirnya berjaya merungkai satu misteri yang sebenarnya sudah lama bertapak dalam kehidupan Nor dan Khuzairi sekeluarga. Apakah misteri tersebut, anda hanya boleh ketahuinya dengan mengunjungi pawagam terdekat untuk menonton filem Wangi. Jangan lupa janji temu anda untuk menonton Wangi bermula 5 September ini! – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend