• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

MV Lagu Baharu: Bukan Sokong LGBT, Sebaliknya Raikan Kasih Sayang – Zee Avi

Tampil dengan single terbaharu berjudul Who Are U, penyanyi Malaysia yang mencipta nama di Amerika Syarikat, Zee Avi turut serentak melancarkan muzik video (MV) lagu tersebut dalam sebuah majlis pelancaran yang berlangsung di Umai, TTDI, Kuala Lumpur hari ini.

Menerusi MV tersebut, Zee telah menampilkan lebih 30 personaliti unik dan menarik untuk dipaparkan sejajar dengan mesej lagu Who Are U yang meraikan kelainan dan kepelbagaian personaliti yang ada dalam diri setiap individu yang diwakili.

Walaupun mungkin ada pihak yang kurang bersetuju dengan beberapa personaliti yang menerapkan imej golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) dalam MV berkenaan, Zee berkata dia hanya mahu meraikan perasaan kasih sayang yang cukup penting harus diterapkan pada diri setiap individu.

“Saya sokong kasih sayang, itu yang boleh saya katakan mengenai perkara tersebut. Kalau netizen nak cakap apa-apa mengenainya, tidak mengapa. Saya hanya boleh ucapkan terima kasih kepada mereka kerana meluangkan masa untuk menaip (perkara negatif). Muzik video ini memaparkan beberapa permata terbaik yang kita ada di seluruh Malaysia. Setiap mereka mempunyai perjalanan mereka yang tersendiri dalam menjadi individu yang berani serta yakin dnegan menjadi diri mereka sendiri.

“Lagu ini juga boleh dikatakan ibarat membalas kepada pertanyaan netizen yang sering kali mahu tentukan apa yang perlu kita buat dan tidak boleh buat. Bagi saya, kalau orang luar sana nak cakap apa sahaja, cakaplah, yang penting macam mana cara kita beri reaksi setiap sesuatu perkara itu yang penting.

“Kalau kita nak ambil hati netizen, terpulanglah pada cara anda. Tapi yang paling penting, saya tampilkan 30 orang ini kerana mereka berani menjadi diri mereka sendiri walaupun mungkin ada di antara mereka sebelum ini dikecam netizen,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Who Are U yang menjalani penggambaran di Terengganu mendapat sentuhan arahan daripada Hafreez Amminuddin.

Antara personaliti yang tampil menjadi model untuk MV ini ialah seperti model terkenal, Alicia Amin, aktivis ‘body positive’ dan model, Nalisa Alia Amin serta selebriti media sosial, Faiz Dickie. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend