
Demi Watak, Nazim Othman Tak Kisah Pakai Baju Bundle
Sering kali tampil kemas dan segak dengan pakaian berjenama, pelakon Nazim Othman mendedahkan dia tidak kisah untuk menyarung baju ‘bundle’ demi merealisasikan watak yang digalasnya.
Bercerita lanjut, Nazim berkata dia sendiri sanggup turun ‘menyelam’ di kedai bundle sekitar Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur bagi mencari sendiri pakaian yang sesuai digunakan untuk membawakan watak sebagai jejaka kampung.
“Saya suka sebenarnya dapat menjayakan watak yang lain daripada karakter yang saya selalu dapat. Sebelum ini saya sering ditawarkan watak lelaki kaya dan romantik, kali ini saya cabar diri dengan melakonkan watak-watak berlainan untuk beri variasi dalam lakonan.
“Untuk hidupkan watak sebagai jejaka kampung, saya pergi sendiri cari baju bundle di Jalan Chow Kit untuk dijadikan sebagai ‘wardrobe’ watak dalam drama itu.
“Kalau siapa yang kenal saya, mereka tahu saya seorang yang suka bersiap. Tapi untuk watak ini saya tidak kisah pakai baju bundle untuk hidupkan watak dalam dua drama terbaharu lakonan saya selepas ini,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Nazim ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri Suri Katriana yang diadakan di Restoran My Elephant Thai, Great Eastern Mall, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
Drama arahan Pali Yahya itu turut membariskan Ummi Nazeera, Ernie Zakri, Zul Huzaimy, Aishah Azman, Nadiya Nisaa dan Eleena Sui.
Walaupun masih memegang watak sebagai jejaka kaya dan romantik menerusi drama Suri Katriana, namun Nazim tertarik dengan jalan cerita drama tersebut yang disifatkan cukup unik dan lain daripada naskhah yang pernah dibawakannya sebelum ini.
“Walaupun saya pegang watak anak orang kaya dalam drama ini tapi yang buat saya terima tawaran tersebut sebab kelainan jalan cerita yang dibawakan. Nak tahu apa kelainannya, kenalah tengok drama ini nanti,” ujarnya lagi.
Suri Katriana yang diterbitkan MIG Sdn. Bhd. bakal memulakan siaran pada 30 Oktober ini jam 6 petang, setiap Isnin hingga Jumaat. Ia akan disiarkan menerusi saluran Astro Prima (105) dan Prima HD (121). – KopiPlanet.com



