
Nelydia Akui Cincin Pemberian Mr. H, Sedang Kenal Hati Budi
Pelakon Nelydia Senrose mengakui cincin yang dimuat naik di media sosialnya baru-baru ini adalah pemberian daripada kekasihnya yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz.
Menurut Nelydia, 24, dia kini masih lagi berada dalam fasa mengenali hati budi jejaka yang berasal dari Pantai Timur itu.
“Ya, cincin itu pemberian seseorang, tetapi buat masa sekarang ini saya belum dirisik atau bertunang lagi.
“Saya dan dia masih dalam fasa perkenalan, hubungan kami masih baru. Namun sudah tentu saya mengharapkan pengakhiran yang baik,” katanya kepada KopiPlanet.com.
Nelydia ditemui pada majlis pertunjukkan fesyen raya Starvilion di Royal Palace, Shah Alam hari ini.
Menurut adik kepada pelakon Uqasha Senrose itu, dia mengenali jejaka tersebut menerusi seorang rakan sejak beberapa bulan lalu.
Nelydia turut menyatakan dia sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumah tangga dan serius dengan ikatan percintaan yang dibina.
“Sebagai wanita saya sudah bersedia untuk berkahwin kerana saya bukan seorang yang main-main dalam sesebuah hubungan. Saya harap semua doakan yang baik-baik untuk hubungan ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai status Hafiz yang dikatakan seorang jutawan muda, Nelydia menjelaskan dia sendiri tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
“Sama ada dia jutawan atau tidak saya tidak tahu kerana saya tidak pernah cek akaun bank dia.” – KopiPlanet.com
Kredit foto: Instagram Nelydia Senrose