• FOLLOW US
Cerita Artis, Hiburan

Pakai Seluar Ketat Antara Cabaran PU Rizz Berlakon Filem

Biarpun mula berjinak-jinak dengan bidang lakonan, ternyata tuah telah memihak kepada PU Rizz apabila ditawarkan berlakon dalam filem Ada Apa Dengan Dosa terbitan Pencil Pictures Sdn. Bhd.

Pemilik nama sebenar Muhammad Haris Mohd Ismail itu berkata, dia bersetuju memegang watak utama dalam filem berkenaan memandangkan ia sebuah filem bercorak Islamik.

“Dalam filem ini saya membawa watak seorang pendakwah bernama Khaliq yang belajar dalam jurusan agama di sebuah universiti di Scotland.

“Kemudian dia bertemu dengan seorang gadis bernama Aurora yang berminat mendalami Islam. Namun lama-kelamaan dia mula jatuh dengan gadis berkenaan,” ujarnya.

PU Rizz berkata demikian ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa dan pelancaran filem Ada Apa Dengan Dosa yang berlangsung semalam.

Ketika ditanya mengenai cabaran sepanjang berlakon dalam filem tersebut, PU Rizz berkata antaranya adalah penampilannya yang lebih moden.

“Untuk watak Khaliq ini, saya terpaksa ubah gaya rambut yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Selain itu, saya perlu memakai seluar yang agak ketat sehinggakan berasa panas dan kurang selesa walaupun berada di negara sejuk.

“Sebenarnya, saya dah sediakan pakaian sendiri yang menggambarkan sebagai seorang pendakwah. Namun, semua pakaian yang saya bawa itu langsung tidak digunakan sepanjang penggambaran,” jelasnya ketika menceritakan pengalaman berlakon dalam filem sulungnya.

Dalam pada itu, berkenaan dengan perkembangan terkininya pula, PU Rizz menyatakan kini dia sedang memberi tumpuan kepada pelajarannya dalam jurusan undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

“Buat masa ini saya memang fokus terhadap pelajaran sahaja. Kali terakhir pun saya berlakon adalah drama bersiri Selafaz Rindu yang ditayangkan pada Februari lalu.

“Tidak dinafikan memang terdapat banyak tawaran berlakon yang diterima, tetapi saya tolak kesemuanya kerana komitmen saya terhadap pelajaran,” ujarnya.

Bagaimanapun, dia menyatakan mungkin akan kembali aktif dalam bidang seni setelah menamatkan pengajiannya nanti. – KopiPlanet.com

Previous ArticleNext Article

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Send this to a friend