KolumnisKongsi

Penutupan Operasi Pawagam: Implikasi Kepada Ekonomi, Industri & Masyarakat

Sejak penulisan penulis yang bertajuk Industri Pawagam Di Malaysia Yang Malang Dan Suram pada 13 Februari 2021 di portal ini, penulis melihat respon yang pelbagai dari netizen mengenai keperluan dan kewajaran pawagam dibuka dalam tempoh kawalan pandemik ini.

Pelbagai pandangan dilontarkan antaranya melibatkan aspek keselamatan, kewajaran serta keperluan untuk dijadikan alasan samada cinema perlu beroperasi semula atau tidak.

Dalam banyak pandangan, penulis mengambil serius satu lontaran yang penulis rasa telah menjadi asas kerajaan pada masa ini di mana mereka melihat bahawa industri pawagam adalah sesuatu yang tidak kritikal dan ianya diletakkan dalam kategori hiburan mudah semata-mata.

Selain itu, ada juga yang menyebut bahawa industri ini mempunyai alternatif medium tayangan yang lain seperti Astro First, Netflix, Disney Plus dan lain-lain. Dengan asas itu, industri pawagam bukanlah suatu yang perlu diberikan perhatian.

Bagi penulis, ini adalah pandangan yang sangat kurang tepat dan lemah.

Untuk kesekian kalinya, penulis ingin tegaskan bahawa pawagam adalah sebahagian dari entiti masyarakat. Dari era lama, pawagam menempuh evolusi dari zaman pawagam bebas hinggalah kepada pawagam moden seperti mana yang kita lihat hari ini.

Industri pawagam berevolusi dengan perkembangan teknologi untuk memenuhi kehendak masyarakat untuk terus menjadikannya relevan kepada generasi semasa.

Bukan hanya sekadar ancaman pandemik yang pernah berlaku suatu ketika dahulu, industri ini telah menempuh berdekad lamanya dalam era peperangan, perubahan budaya, cetak rompak, medium luar seperti video tap dan VCD serta kini saluran altenatif berbayar yang bertemakan Pawagam Di Rumah Anda.

Semua ini telah dan sedang dilalui tetapi industri pawagam tetap segar dengan komuniti yang cintakan pengalaman layar lebar dalam dewan besar yang gelap. Sangat memuaskan.

Namun tulisan ini tidak memfokuskan kepada masa depan dalam konteks persaingan semasa kerana penulis akan menghuraikan dalam catatan yang lain.

Tulisan kali ini lebih menjurus kepada keperluan pawagam untuk dibuka segera dan menyangkal pandangan umum yang merendahkan peranan industri pawagam tanpa melihat kepada prospek yang sebenar.

Untuk itu, penulis ingin mengariskan lima implikasi jangka pendek dan jangka panjang kepada ekonomi negara, industri kreatif dan juga masyarakat jika pawagam ditutup.

  1. PENDAPATAN NEGARA – Sejak 10 tahun bermula dari tahun 1999 hingga 2019, industri pawagam telah berkembang dalam negara secara berperingkat dari lebih kurang 50 pawagam hingga sekitar 160 pawagam pada tahun 2019 yang meliputi seluruh negara kecuali Kelantan dan Perlis. Dari jumlah itu, industri ini telah menyumbang 25% dari kutipan jualan kepada kerajaan dan jika kita mengambil kira kutipan pada tahun 2018 dan 2019 di mana kutipan kasar tahunan mencecah RM 1 billion, anggaran pendapatan cukai kepada kerajaan telah mencecah purata RM 250 juta setahun. 
  • PELABURAN – Sebelum pandemik mula menyerang dunia, beberapa rangkaian pawagam gergasi dunia terutama dari China telah mula menapak dalam industri pawagam negara. Selain ini, wujud beberapa pengusaha kecil yang mula untuk mengusahakan pawagam kecil luar bandar yang berkonsepkan Pawagam Komuniti Komersil dan ianya ternyata sangat memberikan impak. Perlu diingat, untuk membina pawagam moden, perkiraan kosnya boleh mencecah puluhan jutaan ringgit. Kos ini sangat bergantung kepada reka bentuk, konsep, fasiliti dan yang penting ialah teknologi yang akan digunakan. Dengan itu, jika pawagam menutup perniagaan, peluang untuk membinanya semula adalah sangat sukar. Apatah lagi jika ianya melibatkan pelaburan luar, kerana jika ianya terbatal maka ianya adalah satu kerugian yang besar.
  • INDUSTRI TEMPATAN – Sudah tentu penutupan pawagam akan memberikan kesan kepada industri filem tempatan. Memang kita akui, wujud medium alternatif seperti Astro First dan lain-lain tetapi aura pawagam sangat berbeza. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga untuk industri filem antarabangsa. Pernahkah kita terfikir, di peringkat antarabangsa, medium seperti Netflix, Disney Plus, HBO Channel dan lain-lain juga mempunyai peranan yang besar dan mampu memberikan kutipan yang baik pada filem luar tetapi kenapa filem-filem hebat keluaran Hollywood seperti James Bond : No Time To Die, Black Widow, Top Gun, Godzilla vs Kong dan lain-lain masih menunggu tayangan di pawagam? Jawapan mudah kerana masyarakat mahukan filem-filem ini ditayangkan di pawagam selain bakal menjanjikan kutipan yang lebih lumayan. Begitu juga di Malaysia, penerbit kita juga sedang menantikan tayangan di pawagam. Penutupan operasi ini akan menyebabkan penerbit kita meraba-raba mencari medium swasta. Nasib baik kita ada Astro First untuk berperanan tetapi pawagam tetap sebagai pilihan utama.
  • CETAK ROMPAK – Implikasi yang besar kepada penutupan pawagam ini ialah budaya cetak rompak akan kembali segar. Filem yang ditayangkan dalam medium di rumah lebih mudah di rompak. Bukan untuk mengecilkan peranan medium tayangan altenatif tetapi inilah realitinya. Bukan bermakna tayangan di pawagam adalah jaminan untuk bebas dari cetak rompak tetapi perlu diakui, tahap keselamatan dan kawalannya lebih terjamin terutama bagi filem-filem tempatan kerana kawalan dalam pawagam negara adalah baik.
  • NASIB PEKERJA-PEKERJA PAWAGAM – Ini isu masyarakat. Pawagam ada pekerja-pekerja nya. Pekerja-pekerja pawagam ini ada keluarga dan tanggungjawab yang perlu ditanggung. Bukan memperkecilkan industri yang lain tetapi berbalik kepada latar belakang perniagaan ini, jika ianya ditutup, untuk pawagam itu hidup semula memang amat sukar kerana kos membinanya sangat besar. Ini bermakna pekerja-pekerja terpaksa mencari bidang lain. Kerajaan harus melihat aspek ini dalam konteks mikro yang melibatkan pekerja dan tanggungjawab mereka. Tidak kira lah apa yang diperkatakan tetapi pekerja-pekerja pawagam harus dibela dan dipertahan.

Maka dengan itu, penulis berharap mesej ini jelas untuk dipertimbangkan oleh kerajaan. Bukan untuk menentang kerana penulis menghormati usaha kerajaan dalam mengawal pandemik ini. Tetapi asas kepada penulis adalah mudah, jika kawalan untuk penutupan industri dalam negara dibuat dalam konteks menyeluruh, industri ini bersedia untuk bersama memeranginya. Tetapi jika kawalan hanya untuk industri-industri yang terpilih, penulis menggesa untuk kerajaan mempertimbangkan agar pawagam harus dibuka semula. Persepsi yang mengatakan bahawa industri pawagam ini adalah remeh dan hanya bertemakan hiburan semata-mata, ternyata ianya sangat kuno dan negatif.

Industri pawagam di Malaysia kini ibarat burung dalam sangkar yang terlepas pandang untuk dibebaskan. Maka lepaskan mereka untuk terbang semula demi untuk kelangsungan hidup diri dan komunitinya.

Jangan sampai ianya pupus dan menjadi spesis yang wujud hanya di luar alam. Kesannya sangat besar. – KopiPlanet.com

Apakah reaksi anda?
+1
1
+1
0
+1
0
+1
0
+1
1
+1
0
+1
0

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button