
Perbezaan Pendapat Punca Jennifer Aniston – Justin Theroux Bercerai
Penceraian yang berlaku di antara pelakon Jennifer Aniston dan bekas suaminya, Justin Theroux dikhabarkan disebabkan keengganan aktres itu untuk menetap terus di kota New York, Amerika Syarikat.
Jennifer berpindah ke Manhattan selepas jatuh cinta dengan Justin namun dia tidak dapat menyesuaikan diri di sana dan lebih sukakan kehidupannya yang lebih tenang di Los Angeles.
“Jennifer lebih selesa menetap di Los Angeles dikelilingi dengan rakan-rakan baiknya. Tapi Justin pula lebih suka tinggal di New York,” kata satu sumber.
Pasangan yang berkahwin pada 2015 itu lebih banyak tinggal berjauhan sejak mendirikan rumah tangga di mana Justin lebih banyak menghabiskan masa sendiri di kota Big Apple itu.
Walaupun mengambil keputusan untuk berpisah, namun pasangan ini berkata mereka akan kekal berkawan baik seperti biasa.
Kenyataan yang dikeluarkan kedua-dua jurucakap mereka pada minggu lalu memberikan khabar bahawa pasangan itu sudah mula berpisah sejak penghujung tahun lepas.
Ini merupakan perkahwinan kedua buat Jennifer yang sebelum ini pernah berkahwin dengan Brad Pitt manakala perkahwinan yang pertama buat Justin. – KopiPlanet.com